San Diego: Jumlah kematian akibat pertembungan antara jet eksekutif kontraktor tentera Amerika Syarikat BAE Systems Inc dengan pesawat kecil di California Selatan pagi tadi, meningkat kepada lima orang.
Menurut Ketua Jabatan Bomba California di San Diego, Nick Schuler, serpihan pesawat dan mayat bertaburan dalam kawasan seluas 1.6 kilometer dekat sempadan Amerika dan Mexico.
Pesawat enjin kembar Sabreliner bertembung dengan pesawat Cessna 172 kira-kira tiga kilometer dari Lapangan Terbang Field di San Diego.
Andrew Swick dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) berkata jet itu dalam misi latihan dengan tentera laut Amerika manakala juruterbang Cessna sedang berlatih berlepas dan mendarat.
Empat mangsa yang maut berada dalam Sabreliner manakala mangsa kelima ialah juruterbang Cessna.
BAE Systems, kontraktor tentera dari Britain yang melatih juruterbang, menyatakan mangsa yang terbunuh dalam jet Sabreliner itu ialah Carlos Palos, John Kovach dan Jeff Percy bersama seorang lagi yang belum dipastikan identitinya. - Reuters