STANLEY (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas.
STANLEY (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas.
Oleh Mohd Rizal Abdullah

[email protected].m

Miri: Satu sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah tumpas dengan nilai rampasan dadah bernilai RM24,595 dalam serbuan di Permyjaya, di sini, 12 Ogos lalu

Pemangku Ketua Polis Miri, Superintedan Stanley Jonathan Ringgit berkata, serbuan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Sarawak bersama Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis(IPD) Miri pada 11.30 pagi itu turut menahan sepasang suami isteri berusia 47 dan 26 tahun.

Menurutnya, hasil serbuan, polis menemui lima paket plastik dadah dipercayai ketamin seberat 361 gram, 28 botol cecair dipercayai dadah jenis syabu seberat 420 milimeter, 19 strip warna merah berisi 10 pil dipercayai eramin 5, enam ketulan mampat ganja seberat 52 gram dan tujuh pil seberat 2.69 gram dipercayai ecstacy.

"Semua dadah berkenaan ditemui dalam plastik dalam bilik tidur pasangan berkenaan. Polis turut menjumpai alat penimbang digital yang digunakan suspek dipercayai menyukat dadah berkenaan," katanya semasa sidang media di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik IPD Miri tadi.

Katanya, pasangan terbabit dipercayai aktif menjalankan pengedaran dadah di bandar raya ini dan semua dadah berkenaan disyaki diambil dari negara luar sebelum membungkusnya di sini.

"Polis turut merampas kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD) yang digunakan suspek," katanya.

"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 3:18 PM