JOSE Mourinho dan Harry Kane. FOTO Reuters
JOSE Mourinho dan Harry Kane. FOTO Reuters
Reuters

BUKAN sesuatu yang aneh buat Jose Mourinho apabila mengambil tempatnya di Tottenham Hotspur dalam aksi setempat kelab London menanti kunjungan Chelsea.

Pengendali kelahiran Portugal itu pernah menjadi pengurus lawan menentang kelab yang pernah dibimbingnya menjulang tiga gelaran Liga Perdana Inggeris ketika bersama Inter Milan dan Manchester United.

Namun kelibat beliau mengendalikan musuh utama Tottenham bukan sesuatu yang difikirkan peminat setia Chelsea untuk disaksikan dan reaksi segelintir penyokong mengenai aksi awal pagi Isnin itu, mungkin tidak sesuai untuk tontonan.

Menambah ketegangan, Frank Lampard, salah seorang daripada ayam tambatan Mourinho ketika dua penggal mengendalikan Chelsea, akan cuba mengatasinya, menyedari bahawa kekalahan akan menyebabkan Spurs memintas mereka ke kelompok empat teratas.

Pendahulu Liga Perdana, Liverpool berehat seketika daripada misi memburu kejuaraan liga ketika mereka bakal berdepan Flamengo dalam aksi final Piala Kelab Dunia di Qatar awal pagi Ahad.

Dua kelab di bawah Liverpool, Leicester City dan juara bertahan Manchester City akan bertembung sesama sendiri di Stadium Etihad.

Rekod kemenangan lapan perlawanan Leicester di liga itu lebur minggu lalu apabila seri dengan Norwich City tetapi kemenangan ke atas City akan memastikan mereka merapatkan jurang dengan Liverpool kepada lapan mata.

Everton dan Arsenal, kedua-duanya cuba mencari pengendali baru, akan bertemu di Goodison Park manakala kelab tercorot Watford akan menanti kunjungan Manchester United Ahad ini.

Bagaimanapun tumpuan akan terarah kepada Stadium Tottenham Hotspur di mana mereka mahu meneruskan kebangkitan di bawah Mourinho.

Selepas menang hanya tiga daripada 12 perlawanan awal yang membawa kepada pemecatan Mauricio Pochettino, mereka menang empat daripada lima perlawanan di bawah Mourinho untuk mara ke tangga kelima dan kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Dalam tempoh itu mereka juga berjaya merapatkan jurang 11 mata dengan Chelsea sebelum ini kepada hanya tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 10:59 AM