Air dan daun ketum serta ubat batuk yang dirampas. FOTO  Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Air dan daun ketum serta ubat batuk yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar : Tiga lelaki ditahan bersama 350 bungkusan mengandungi 176.5 liter cecair hijau dipercayai air daun ketum dalam serbuan di sebuah khemah kanvas di belakang sebuah rumah di kampung Kedah di sini jam 12.30 tengah malam tadi.

Serbuan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian turut menjumpai 10 botol cecair dipercayai ubat batuk.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pemeriksaan lanjut menemui dua kilogram daun ketum kering dan pelbagai peralatan dapur di khemah terbabit yang dipercayai dijadikan 'port' mereka untuk memproses ketum untuk pasaran luar dan tempatan.

"Soal siasat terhadap suspek mendapati semua air ketum itu diproses untuk diedarkan kepada pelanggan sekitar Parit Buntar dan Nibong Tebal.

"Bekalan daun ketum itu diambil dari Kedah dengan harga RM35 sekilogram.

"Bagi air ketum yang diproses ianya dijual dengan harga RM5 setiap bungkusan manakala air ketum yang dicampur dengan campuran ubat batuk dijual dengan harga RM7 sebungkus," katanya.

Beliau berkata, suspek yang berusia lingkungan 31 hingga 39 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, kini ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Ogos bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 8:42 PM