PENGALAMAN ke Pulau Kukup tidak lengkap sekiranya tidak menyusuri Sungai Ular.
PENGALAMAN ke Pulau Kukup tidak lengkap sekiranya tidak menyusuri Sungai Ular.
KERA antara fauna yang boleh dijumpai di taman negara ini.
KERA antara fauna yang boleh dijumpai di taman negara ini.
WAKIL media berpeluang melakukan penanaman semula pokok bakau sebagai langkah konservasi demi kesejahteraan habitat flora dan fauna.
WAKIL media berpeluang melakukan penanaman semula pokok bakau sebagai langkah konservasi demi kesejahteraan habitat flora dan fauna.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Tidak banyak tempat yang membolehkan penulis untuk menikmati rasa ketenangan sepenuhnya, melihat hidupan hijau dan jauh dari hiruk-pikuk kenderaan yang ditempuhi setiap hari di bandar raya.

Justeru, sewaktu menerima jemputan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), penulis teruja untuk menempuh cabaran ke Taman Negara Johor Pulau Kukup meskipun berhadapan waktu yang sangat terhad.

Perjalanan sejauh 318 kilometer dari Kuala Lumpur ke Pontian mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum kami tiba di jeti Pulau Kukup.

Seawal jam 8 pagi, penulis mendapati penduduk Cina di perkampungan nelayan yang berusia 150 tahun ini sudah menjalankan aktiviti perikanan, perniagaan, pelancongan dan pengangkutan.

Kelihatan bot dan pukat tunda bergerak ke tengah laut, manakala kedai di sekitar jeti dibuka sambil menunggu kedatangan pengunjung yang berminat untuk singgah membeli barang atau menjamu selera.

Untuk ke hutan paya bakau di Pulau Kukup, kami perlu ke seberang menggunakan bot yang mengambil masa 10 minit.

Tempat itu menyimpan ceritanya tersendiri malah nama Kukup berasal dari perkataan ‘gugup’ disebabkan penduduk tempatan takut dengan serangan lanun.

Ada pula mengaitkan dengan ‘telungkup’ apabila banyak perahu nelayan di sini ditelungkupkan lanun yang aktif menjalankan aktiviti rompakan di perairan Selat Melaka.

Kedudukan Pulau Kukup di perairan barat daya Johor iaitu di antara Selat Kukup dan Selat Melaka menyebabkan banyak ditumbuhi pokok bakau.

Pokok bakau memberi perlindungan dan makanan kepada ikan, ketam, udang dan haiwan lain malah pembiakan ikan di perairan paya bakau penting sebagai sumber kelangsungan hidup nelayan tempatan.

Pulau Kukup berkeluasan 1,447 hektar dengan kawasan hutan bakau seluas 647 hektar, manakala kawasan tanah berlumpur seluas 800 hektar.

Ia adalah kepulauan hutan paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia.

Johor mempunyai tiga kawasan yang diisytiharkan Tapak Ramsar (tanah lembap) iaitu Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup.

Penolong Pengurus Taman Negara Johor Pulau Kukup Rosmona Musa berkata, pulau itu diwartakan taman negara pada 27 Mac 1997 dan dibuka kepada umum pada 2003.

“Pulau ini mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau Tapak Ramsar yang ke-1,287 oleh Biro Ramsar Switzerland pada 31 Januari 2003.

“Dianggarkan, sekitar 172,200 pelancong dari dalam dan luar negara melawat pulau ini sejak 2011 hingga 2015,” katanya.

Pulau Kukup adalah tempat tinggal bagi lebih 60 spesies tumbuh-tumbuhan, antaranya api-api (avicennia), bakau (rhizophora), perepat (sonneratia) dan berus/tumu (brugulera).

Ia menjadi rumah kepada tujuh spesies mamalia seperti kera, keluang, babi hutan dan memerang malah lima spesies reptilia turut direkodkan iaitu biawak air, ular kapak bakau serta ular katang tebu.

Dataran lumpur di pulau itu mempunyai kepelbagaian hidupan bakau seperti ketam nipah, tiram, ketam rebab dan siput mata merah.

Pulau Kukup turut menjadi persinggahan habitat burung air dan burung hijrah seperti kedidi kaki merah, burung botak, kedidi pasir dan pucong seriap.

“Menariknya, kawasan tanah lembap itu memiliki 18 spesies bakau asli dan bakau berkaitan seperti tumu merah, api-api putih, pial lasa, lenggadai dan nyireh batu manakala 12 bakau berkaitan meliputi dungun, rotan bakau dan pakis langsoyar.

“Ada lima pokok bakau jenis berus mata buaya ditemui di sini dan diklasifikasi spesies pokok terancam,” katanya.

Jika berminat mengunjungi Pulau Kukup, anda perlu memohon daripada pengurusan Taman Negara Pulau Kukup.

Ketika di pulau ini, pengunjung boleh memilih menaiki bot untuk mudik ke Sungai Ular atau berjalan di pelantar kayu.

Pelantar sepanjang 600 meter ini membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat tanaman pokok bakau, pelbagai flora dan fauna seperti ketam kecil berwarna merah serta ikan belacak tompok atau lebih dikenali sebagai ikan tembakul.

Laluan di Sungai Ular menjanjikan suasana damai dan tenang ketika berada di atas bot sambil menyaksikan gelagat burung botak mencari makanan manakala mata menjamu keindahan alam yang tidak dapat diperoleh di bandar raya.

Meskipun jambatan gantung setinggi 15 meter ditutup atas faktor keselamatan, ia tidak melumpuhkan semangat pengunjung apabila sanggup mendaki menara pemerhati setinggi 30 meter di penghujung pelantar.

Pada masa yang sama, Taman Negara Johor Pulau Kukup bakal menerima laluan pelantar tambahan sejauh satu satu kilometer dan fasiliti yang lain termasuk menara tinjau atau menara pemerhati. Projek terbabit sudah dipersetujui dan bakal dilaksanakan di bawah Iskandar Regional Development Authority (IRDA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 1:08 PM