Basyar Mustapha mengajak pembaca sama-sama menghormati insan yang sudi menjadi rakan kita.

Belajar menghormati orang lain akan menjadikan kita seorang yang lebih baik dalam perhubungan termasuk persahabatan. Tokoh penyair dan penulis Maya Angelou pernah berkata manusia akan lupa apa yang kita katakan, apa yang dibuat kita, namun tidak akan lupa apa yang kita buat mereka rasa.

Hormat bermaksud orang rasa tidak berasa diperkecilkan atau dipandang enteng apabila berada dengan kita. Dalam persahabatan, menghormati rakan sangat penting. Ini kerana hubungan persahabatan sangat berbeza dengan perhubungan lain dalam kehidupan kita.

Persahabatan bukannya terikat dek jalinan darah seperti sesama ahli keluarga mahupun perjanjian hidup seperti pasangan suami isteri juga bukan kerana paksaan kontrak seperti dengan majikan.

Hubungan ini terjalin di atas pilihan dan kehendak sendiri malah persahabatan yang ikhlas sememangnya tiada paksaan. Maka kerana itulah kita perlu menghargai rakan dengan menghormati mereka sebagai insan yang sudi hadir dalam hidup kita.

Terima pilihan dalam kehidupannya

Walaupun kita dan rakan memang sekepala, mereka juga ada pendapat dan pilihan sendiri dalam kehidupan. Apabila tidak bersependapat janganlah kita menyuarakan tentangan atau menjauhkan diri daripadanya. Sebagai rakan kita patut terima pendapat tersendiri rakan itu dengan hati terbuka dan jika tidak bersetuju dalam pilihan mereka, hanya katakan kita tidak bersetuju tanpa perlu bertengkar.

Jangan jadi ‘bos’

Sebagai rakan, janganlah kita berasa lebih baik daripada rakan yang lain. Jika kita ada perasaan ini dalam hati, kita akan mudah berperangai seperti bos tidak bertauliah. Kita akan selalu jadi ‘bossy’ dengan suka memotong cakap mereka, mengarah mereka dan ingin mereka melakukan perkara mengikut cara kita. Hormatilah rakan kerana setiap insan patut dihormati dengan layaknya dan ia menunjukkan siapa diri kita sebenarnya.

Tepati janji

Seorang rakan yang menghormati rakan lain akan menepati janji dan kata-katanya. Jika kita berjanji untuk berjumpa dengan rakan, kotakan janji itu dan jumpalah dengan mereka. Fikirlah bahawa mereka juga mempunyai masa sendiri namun tetap ingin berjumpa dengan kita. jika tidak boleh berjumpa janganlah berjanji atau jika tidak dapat hadir, beritahu mereka lebih awal dan jelaskan sebaiknya. Mereka yang tidak mengotakan janji apatah lagi tidak menjelaskan sebab bertindak demikian dilihat tidak hormat pada orang lain.

Bersangka baik

Jika kita rasa kita benar-benar mengenali rakan kita, kita tidak seharusnya berfikir dan bertindak melulu perkara yang berkaitan mereka. Jika mereka lama tidak menghubungi kita atau melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan, janganlah kita berfikir yang bukan-bukan. Kita perlu bersangka baik dan menjauhi fikiran negatif. Jalan terbaik untuk kepastian adalah bertanya mereka apa sebenarnya yang berlaku tanpa melulu dengan tindakan seperti kita tidak menghormati persahabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 10:56 AM