Kuala Lumpur: Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) bagi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ASEAN yang diadakan, hari ini, membincangkan hala tuju EAS, yang akan menyambut ulang tahun ke-10 pada hujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Kerjasama Asia dan Pasifik, Kementerian Luar Rusia, Bakhtier Khakimov, berkata SOM turut membincangkan kaedah untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam kalangan peserta EAS.

“Tahun ini kami menyambut ulang tahun ke-10 EAS. Satu daripada topik utama yang dibentangkan adalah perlunya untuk memperkukuhkan EAS dan menetapkan hala tujunya,” katanya di luar Mesyuarat Campur 6 Pegawai Kanan EAS di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Mesyuarat itu, menurut Khakimov berlangsung secara terbuka, terus terang dan membina, juga menyediakan kerja asas bagi mesyuarat peringkat menteri EAS ASEAN dijadual pada 6 Ogos serta Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin EAS yang akan diadakan selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 pada November.

EAS ASEAN ditubuhkan pada 2005 di Kuala Lumpur. Ia berperanan sebagai platform untuk pemimpin membincangkan perkara berkaitan strategi utama, politik, keselamatan dan isu alam sekitar yang dihadapi rantau Asia Timur.

Keutamaan lain EAS termasuk kerjasama perdagangan, kewangan, tenaga dan kesihatan.

Ketika ini, ia dianggotai 18 peserta, iaitu 10 negara anggota ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 9:26 PM