TOM Cruise.
TOM Cruise.
AKSI mencabar dilakukan Cruise.
AKSI mencabar dilakukan Cruise.
Susunan Oleh Michelle Gun

Sekilas pandang, ramai menyangka pelakon tersohor Tom Cruise berusia awal 40-an.

Hakikatnya bintang ini berusia 53 tahun dan masih mampu melakukan aksi lagak ngeri dalam filem terbaru Mission: Impossible (M:I)- Rogue Nation.

Cruise berjaya mengukuhkan reputasinya apabila melakukan aksi lagak ngeri sendiri menerusi filem M:I 19 tahun lalu.

Dalam salah satu babak francais kelima M:I, Cruise bergantung di luar pintu Airbus A400M ketika pesawat itu baru berlepas.

Bukan itu sahaja, Cruise yang memegang watak sebagai ejen IMF Ethan Hunt turut dilaporkan berada dalam air selama enam minit ketika melakukan penggambaran salah satu babak cemas.

Melakukan aksi demikian demi menghiburkan penonton, pelakon itu sedar apa yang dilakukan itu boleh mengancam keselamatannya.

“Semua aksi lagak ngeri yang saya lakukan dalam M:I sangat mencabar. Salah satu ialah babak Mojave dalam M:I 2.

“Aksi babak pesawat A400M serta motosikal dalam Rouge Nation juga sangat bahaya.

“Sewaktu melakonkan aksi pesawat itu, saya hanya fikir aspek sudut dan pencahayaan,” katanya.

Cruise turut mendedahkan sejak kecil sudah bercita-cita menghasilkan filem.

“Saya menggemari drama M:I dan berangan-angan mahu bekerjasama dengan bintang antarabangsa menjelajah seluruh dunia,” katanya.

Jelas Cruise, gara-gara ghairah mahu melakukan aksi lagak ngeri ketika kanak-kanak, kakinya pernah patah.

“Ketika memanjat bumbung dan cuba membuat aksi golek saya jatuh. Tak pasal-pasal kaki saya patah,” katanya.

Dalam M:I - Rogue Nation, Ethan Hunt diburu sekumpulan penjenayah, The Syndicate yang mahu membunuhnya. Filem yang menggegarkan pawagam bermula hari ini itu turut dibintangi Simon Pegg, Jeremy Renner, Ving Rhames, Alec Baldwin dan Rebecca Ferguson.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 12:16 PM