Tom Cruise
Tom Cruise
Agensi

Los Angeles: Penggambaran filem Mission Impossible 7 lakonan dan terbitan Tom Cruise terpaksa dihentikan sementara selepas terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangan produksi.

Apa yang menarik, kru produksi mengesyaki Cruise adalah individu yang dijangkiti selepas pelakon itu tidak muncul di lokasi penggambaran selepas pengumuman itu dibuat.

Menurut sumber dalaman, tidak mustahil dia penyebab penggambaran itu terpaksa dihentikan walaupun belum ada sebarang pengesahan rasmi siapa yang dijangkiti."

"Semua yang berada di set penggambaran dimaklumkan penggambaran itu dihentikan lagi. Sejak itu, Tom tidak pernah muncul.

"Sekarang mereka mengesyaki dia mungkin menjadi kontak rapat kepada individu yang positif virus itu. Ada pula mengatakan kemungkinan dia yang dijangkiti.

"Walaupun tiada bukti, namun ia tidak menghalang mereka untuk bergosip. Sekarang ia menjadi bahan jenaka di lokasi kerana sangat ironik jika Tom adalah penyebab penggambaran dihentikan," katanya.

Pada Disember tahun lalu, sebuah rakaman didedahkan akhbar The Sun di mana Cruise didapati menengking kakitangan produksi supaya patuh segala protokol keselamatan.

Dia kedengaran begitu tegas dalam memastikan tidak berlaku jangkitan Covid-19 di set penggambaran.

Keadaan menjadi lebih tegang pada 9 Jun lalu apabila dia dilaporkan cuma ada 21 hari untuk menghabiskan baki penggambaran.

Namun, tiba-tiba ia terpaksa dihentikan lagi.

Cruise kembali menjayakan watak Ethan Hunt dalam sekuel filem mengenai perisikan itu.

Turut membintangi sekuel terbaru itu adalah Hayley Atwell, Vanessa Kirby, Pom Klementieff, Nicholas Hoult, Simon Pegg dan Ving Rhames.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 11:25 AM