PENGGUNAAN peralatan teknologi oleh kanak-kanak dengan kawalan mampu beri kesan positif.
PENGGUNAAN peralatan teknologi oleh kanak-kanak dengan kawalan mampu beri kesan positif.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Kehidupan kita hari ini sarat dengan teknologi dan agak janggal sekiranya seseorang itu menolak perkembangan teknologi terkini misalnya penggunaan telefon bimbit, komputer atau tablet.

Kecanggihan teknologi tidak dapat dinafikan kerana ia mempunyai banyak kebaikan dan memudahkan urusan seharian terutama dalam urusan komunikasi, menyiapkan tugasan, alat pembelajaran atau penghantaran dokumen secara pantas.

Biarpun begitu, teknologi turut mempunyai keburukannya jika disalah guna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, selain menjadi sumber yang mampu memberi kesan negatif, terutama dalam kalangan golongan kanak-kanak yang masih dalam proses pembelajaran.

Adakah teknologi baik atau tidak untuk digunakan sebagai alat pembelajaran kanak-kanak ataupun lebih sesuai menerapkan pe­ngajaran secara tradisional, iaitu menggunakan pensel, pensel warna dan kertas?

Ada ibu bapa yang bimbang sekiranya teknologi melalaikan anak mereka, membazir masa, malah lebih teruk merosakkan minda anak-anak mereka.

Namun, masih ramai menganggap pendedahan awal terhadap teknologi boleh membuatkan anak mereka celik IT, menambah pengetahuan am, menajamkan IQ seterusnya membantu pembelajaran di sekolah.

Berikut kebaikan dan keburukan penggunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak.

Kebaikan:

1. Membantu tingkatkan perkembangan kemahiran motor halus misalnya menekan papan kekunci dan menggerakkan tetikus, termasuk melukis dan mewarna secara digital mencekapkan gerakan tangan selain membuatkan kanak-kanak menjadi lebih kreatif. Gerakan ini juga membantu koordinasi antara tangan dan mata yang memberi kelebihan apabila mereka terbabit dalam sukan atau kerja kreatif.

2. Mendidik mengenai tindakan dan kesannya. Apabila kanak-kanak menekan butang atau memilih ikon pada skrin, sesuatu berlaku. Ini secara tidak langsung mengajar mereka setiap perbuatan yang dilakukan ada kesannya.

3. Kanak-kanak lebih mudah faham dan cepat belajar melalui imej yang bergerak dan bunyi. Ia juga membantu perkembangan intelektual dan pemahaman kanak-kanak.

4. Tablet atau peranti yang memerlukan kanak-kanak berinteraksi melalui sentuhan pada skrin antara cara terbaik menarik perhatian kanak-kanak untuk belajar dan faham dengan lebih pantas.

5. Aplikasi yang digunakan sebagai alat pembelajaran memberi kelebihan kepada kanak-kanak kerana selalunya ia lebih menarik, tidak membosankan dan mudah bagi kanak-kanak untuk belajar secara sendiri.

Keburukan:

1. Kurang bergaul atau bersosial dengan orang secara berdepan, sebaliknya lebih banyak masa dihabiskan dengan tablet, telefon atau gajet lain. Kanak-kanak perlu bergaul dengan rakan sebaya serta keluarga untuk membantu perkembangan kemahiran sosial seperti berinteraksi dan berkomunikasi. Tidak ada peranti yang dapat menggantikan faedah yang didapati daripada komunikasi secara berdepan dengan orang lain.

2. Kurang masa bermain bersendirian yang mendidik mereka berfikiran lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah misalnya cara menyusun blok permainan supaya ia tidak jatuh atau mencampurkan jumlah tanah dan air secukupnya supaya ia menjadi lumpur yang boleh digunakan untuk membentuk sesuatu.

3. Terlalu banyak rangsangan seperti bunyi kuat, cahaya terang, warna yang menyala dan pelbagai gerakan. Jika terlalu terdedah dengan begitu banyak rangsangan, anak kecil mungkin akan meragam sekiranya mereka tidak dapat menggunakan tablet. Sebaliknya mereka perlu diajar dengan aktiviti lain seperti mengayuh basikal, bersukan, membaca buku cerita atau membuat reka cipta sendiri. Terlalu bergantung kepada teknologi pantas membuatkan kanak-kanak mudah bosan apabila berdepan dengan pengajaran yang diberikan guru menggunakan papan hitam.

4. Kanak-kanak yang bergantung kepada teknologi untuk mengisi masa lapang mereka menjadi kurang aktif dari segi fizikal sedangkan pergerakan penting untuk membantu pertumbuhan kanak-kanak, membina otot yang kuat dan mengenal pasti kebolehan diri sendiri melalui gerakan.

5. Kanak-kanak mungkin akan menjadi terlalu obses dan ketagih kepada teknologi. Apabila mereka tidak dapat menggunakan tablet atau komputer, ia akan menyebabkan mereka menjadi resah, terganggu dan mungkin melepaskannya dalam cara menangis dan mengamuk.

Tip pembelajaran melalui alat peranti:

1. Pastikan ia bersifat interaktif. Bantu anak dengan banyak bertanya mengenai apa yang dipelajarinya daripada aplikasi yang digunakannya.

2. Muat turun aplikasi sesuai dengan perkemba­ngan usia. Baca buku elektronik bersama-sama dengan anak dan cari aplikasi yang memerlukan kanak-kanak menulis, merekod, melukis atau baca bersama.

3. Pengetahuan yang didapati melalui aplikasi dimuat turun perlu digunakan dalam kehidupan sebenar, misalnya galakkan aktiviti luar, pemikiran kritikal dan kemahiran yang boleh dipraktikkan selepas melihatnya di aplikasi.

4. Galakkan pengetahuan teknologi maklumat dan banyak menggunakan pelbagai ‘alat’ supaya kanak-kanak mendapat manfaat besar daripada ilmu IT.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 5:01 AM