BERI jumlah makanan mencukupi kepada anak.
BERI jumlah makanan mencukupi kepada anak.
Siti Nadirah Hafidzin

BENAR kata orang, apabila menyentuh soal anak, kebanyakan ibu bapa terutama pasangan muda memang peka dengan apa saja perkara yang terjadi terhadap diri si kecil.

Soal pemakanan, emosi anak yang kadangkala baik dan kadangkala meragam sehinggakan berapa kali dia membuang air kecil serta besar dalam tempoh sehari menjadi topik paling kerap dibincangkan di aplikasi WhatsApp setiap pasangan suami isteri.

Walaupun dilihat agak lucu, itu adalah lumrah yang terjadi dalam kehidupan sesebuah keluarga yang mempunyai anak kecil.

Soal tumbesaran anak menjadi elemen paling membimbangkan apatah lagi sekiranya anak mengalami masalah kekurangan berat badan yang ketara hingga menyebabkan si kecil itu mudah dijangkiti penyakit akibat bakteria atau virus.

Mengupas mengenai masalah berat badan kanak-kanak, pakar kanak-kanak Dr Nurina Abdullah berkata, masalah kurang berat badan tidak bermaksud kanak-kanak itu kurus atau terlalu kecil.

Menurutnya, ini kerana sesetengah kanak-kanak secara semula jadinya bertubuh agak besar dan mengekalkannya dengan mengamalkan diet yang seimbang serta melakukan aktiviti fizikal.

“Sesetengah kanak-kanak pula secara semula jadinya memang bertubuh kecil namun mereka bukanlah dikategorikan sebagai kurang berat badan.

“Bagaimanapun, kekurangan berat badan yang sebenar mungkin petanda kepada masalah pemakanan, kesihatan atau emosi bayi atau kanak-kanak itu sendiri,” katanya.

Dr Nurina berkata, berat badan dan ketinggian yang normal adalah petunjuk yang baik bagi status pemakanan seseorang kanak-kanak.

“Pertumbuhan kanak-kanak dinilai oleh anggota kesihatan untuk mengetahui sama ada kanak-kanak itu mengikuti corak pertumbuhan dan tumbesaran normal atau sebaliknya.

KENALI sebab anak anda mengalami masalah kurang berat badan.
KENALI sebab anak anda mengalami masalah kurang berat badan.

“Pertumbuhan kanak-kanak boleh diawasi dengan menimbang berat badan dan mengukur ketinggiannya serta membuat perbandingan berdasarkan rujukan standard. Ini boleh dilakukan dengan membahagikan nilai berat badan dan ketinggian kanak-kanak pada carta berat badan serta ketinggian mengikut jantina,” ujarnya.

Dr Nurina berkata, usia dan corak pertumbuhan kanak-kanak juga akan diambil kira bagi menentukan sama ada mereka mengalami masalah berat badan.

“Kekurangan berat badan dalam kalangan kanak-kanak adalah sukar untuk ditafsirkan kerana tumbesaran mereka tidak boleh dijangka dengan tepat.

“Apa yang pasti, kajian terperinci akan dijalankan ke atas ibu bapa kanak-kanak atau bayi yang mengalami kurang berat badan terutama dengan mengkaji corak pemakanan harian mereka,” katanya.

Menurut Dr Nurina, setiap ibu bapa perlulah peka dengan masalah kurang berat badan sekiranya ia benar-benar dialami oleh si anak.

“Melalui pemerhatian saya, ada sesetengah ibu bapa yang terlalu bimbang sekiranya anak mengalami masalah ini namun ada pula yang menganggap ia bukanlah satu masalah yang perlu dikhuatirkan.

“Apa juga pandangan mereka, setiap ibu bapa perlu tahu anak yang mengalami kurang berat badan dan kekurangan zat makanan lebih cenderung untuk mendapat jangkitan. Dia mungkin berasa lemah dan letih serta menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian,” ujarnya.

Menurutnya, dalam risiko lain, anak mungkin mengalami pertumbuhan terbantut atau permulaan akil baligh yang agak lewat.

“Dalam apa juga masalah, ibu bapa perlu berunding dengan doktor bagi mengenal pasti masalah dan bagaimana untuk mengatasinya.

“Seperti yang saya katakan, jangan terlalu bersenang hati dan jangan pula terlalu risau memikirkan masalah ini, semuanya boleh diatasi sekiranya dirawat awal,” katanya.

Dr Nurina berkata, dalam mengatasi masalah itu, ibu bapa atau penjaga digalakkan untuk memberi makanan mengandungi kalori yang lebih.

“Mulakan dengan merancang hidangan dan snek yang berkalori tinggi mengikut setiap kumpulan makanan daripada Panduan Piramid Makanan Malaysia.

“Sangat penting bagi anak anda mengambil protein, karbohidrat dan lemak yang secukupnya bagi membekalkan tenaga untuk aktiviti, tumbesaran dan perkembangan mereka sekali gus meningkatkan berat badan,” ujarnya.

KENAL PASTI jenis makanan digemari anak-anak terutama kepada si kecil yang memilih makanan.
KENAL PASTI jenis makanan digemari anak-anak terutama kepada si kecil yang memilih makanan.

Menurutnya, galakkan aktiviti fizikal sebagai rutin harian dan sekiranya si anak aktif bermain, pastikan dia berehat sekurang-kurangnya 15 minit sebelum waktu makan.

“Elakkan memberi anak kecil makan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi seperti gula-gula, minuman ringan ataupun makanan tinggi kandungan lemak khususnya makanan segera.

“Hadkan pengambilan snek sebelum waktu makan kerana amalan ini akan mengurangkan selera makan dan galakkan minuman berkhasiat seperti jus serta susu,” katanya.

Dalam situasi ini, Dr Nurina berkata, ibu berperanan paling besar dalam keadaan ini di mana soal selera si anak banyak bergantung kepada kerajinan si ibu menyediakan hidangan makanan.

“Sekiranya anak anda jenis yang sangat memilih makan atau kurang selera makan, ibu perlu bijak mengenal pasti makanan yang anak suka serta mempelbagaikan jenis hidangan setiap hari.

“Walaupun agak penat terutama kepada ibu bekerja namun ia amat penting bagi memastikan masalah kurang berat badan yang dialami anak dapat diatasi,” ujarnya.

FAKTOR PENYEBAB KURANG BERAT BADAN

Dr Nurina menjelaskan terdapat beberapa faktor yang mungkin boleh menyebabkan masalah kekurangan berat badan dalam kalangan kanak-kanak termasuk:

• Tidak makan dengan secukupnya mengikut keperluan harian yang disarankan.

• Penyakit seperti jangkitan cacing.

• Tekanan atau emosi yang tidak stabil.

• Kurang berminat untuk makan. Ini boleh berlaku atas pelbagai sebab antaranya diberikan pendedahan berlebihan dengan gajet.

• Genetik. Sekiranya anak anda mewarisi genetik ibu bapanya yang turut mengalami masalah kurang berat badan paling penting kekalkan memberi makanan mencukupi kepada anak-anak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:23 AM