ANGGOTA JPAM memegang ular sawa yang ditangkap penduduk Kampung Kubor Jalan Darat, Batu Rakit. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ANGGOTA JPAM memegang ular sawa yang ditangkap penduduk Kampung Kubor Jalan Darat, Batu Rakit. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Kehadiran ular sawa batik sepanjang enam meter dan seberat 100 kilogram di Kampung Kubor Jalan Darat, Batu Rakit, di sini, awal pagi tadi, menggemparkan penduduk setempat.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah, Leftenan (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, berdasarkan maklumat diterima, reptilia berkenaan ditemui remaja berusia 18 tahun, kira-kira 2.30 pagi tadi.

"Ular itu ditemui melintas jalan di kampung itu menuju ke bukit berhampiran. Remaja berkenaan kemudian memberitahu penduduk kampung.

"Risau ular berkenaan mengancam ternakan antaranya ayam dan kambing, penduduk kampung mengambil keputusan mencari dan menangkap haiwan itu kira-kira 10.30 pagi dan menghubungi JPAM setengah jam kemudian," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, empat anggota JPAM bergegas ke lokasi berkenaan dan membawa pulang ular sawa itu ke pejabat JPAM daerah untuk diletakkan ke dalam sangkar sementara sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN) dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 3:33 PM