FARKHAN (kanan) berlatih bersama jurulatihnya.
FARKHAN (kanan) berlatih bersama jurulatihnya.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Satu pencapaian yang memalukan dalam sejarah penyertaan skuad tinju negara pada temasya Sukan SEA lalu apabila langsung tiada sebarang pingat dibawa pulang barisan peninju negara.

Kegagalan itu mula mencetuskan khabar angin apabila kemungkinan tinju bakal digugurkan daripada penganjuran Sukan SEA 2017 ketika negara menjadi tuan rumah.

Persatuan Tinju Amatur Malaysia tidak boleh berdiam diri dan hanya melihat kegagalan skuad negara dengan tiada perubahan dilakukan demi menaikkan semula sukan itu.

Perkara itu mengundang rasa kecewa bekas peninju negara Muhamad Farkhan Haron yang pernah menghadiahkan emas buat negara ketika temasya 2009 di Sukan SEA Laos.

Namun dia yang kini bergelar peninju profesional pertama negara berkata, Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) lebih bijak dan tahu apa yang seharusnya dilakukan demi mengangkat kembali martabat tinju negara.

Farkhan hanya mampu memberi pandangan berdasar pengalaman sepanjang bergelar peninju negara dari tahun 2004 sehingga 2013.

“Saya rasa PTAM lebih bijak dan tahu apa yang perlu dilakukan. Sepanjang dalam persatuan saya sudah masak dan tahu ragam persatuan dan jurulatih.

“Bukan nak mengajar tapi PTAM perlu membuat kaji selidik terhadap kegagalan ini. Mungkin ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian iaitu pertama, persatuan sendiri, kedua jurulatih dan ketiga atlet kerana dari 2009 sehingga sekarang tiada apa yang dapat dibanggakan.

“Kejurulatihan dan persatuan perlu dirombak. Sebagai contoh terdapat atlet yang sudah mewakili negara sebanyak tiga, empat kali tapi langsung tiada sebarang kejayaan yang boleh dibanggakan. Perkara itu turut mendorong kepada kegagalan jurulatih yang gagal membimbing atlet,” katanya.

Farkhan berkata, terdapat beberapa atlet yang menyuarakan rasa tidak puas hati kerana kurangnya pertandingan yang dianjurkan oleh persatuan dan daripada awal tahun hingga bulan Jun lalu langsung tiada kejohanan yang dianjurkan dan jika tiada kejohanan bagaimana skuad negara mahu mencari peninju pelapis.

Seperti ada yang tidak kena sedang berlaku dalam PTAM dan perkara itu pernah disuarakan ketika dia masih berada dalam persatuan sehingga mencetuskan perbalahan dan sebagai seorang bekas atlet yang cintakan sukan ini keadaan itu perlu diselamatkan dengan segera.

Farkhan pernah mencetuskan fenomena dalam tinju negara apabila muncul sebagai peninju negara pertama memenangi emas Sukan SEA di luar Malaysia dalam tempoh 42 tahun ketika beraksi di Sukan SEA Laos.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:02 AM