SUDAH sampai bertindak melindungi hak dan kebajikan wanita Amerika Latin.
SUDAH sampai bertindak melindungi hak dan kebajikan wanita Amerika Latin.
WANITA di negara Amerika Latin kerap alami gangguan seksual di jalanan.
WANITA di negara Amerika Latin kerap alami gangguan seksual di jalanan.
PIKET menentang pencabulan hak dan keganasan terhadap wanita.
PIKET menentang pencabulan hak dan keganasan terhadap wanita.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Setiap hari Sara Velez, penuntut jurusan undang-undang di Colombia terpaksa memekakkan telinga dengan sorakan, siulan dan kata-kata berbaur lucah ketika berjalan menuju ke kelasnya. Ini perkara biasa yang merimaskan dan terpaksa dihadapi oleh wanita Amerika Latin.

‘Pujian’ atau ‘piropo’ iaitu perlakuan lelaki mengusik wanita yang lalu-lalang sama ada memuji kecantikan, mengejek atau kadang-kala berbaur seks adalah budaya lama di negara Amerika Latin dan ada pihak mempertahankan budaya ini kerana ia dianggap ‘puisi jalanan’ yang lahir dari minda lelaki bekerja.

Namun bagi Sara dan wanita lain, mereka tidak menyenangi langsung ‘pujian’ berkenaan kerana sejak akhir-akhir ini ia semakin melampau dan memalukan.

“Ia menjengkelkan dan membuat anda rasa meluat,” kata wanita berusia 26 tahun yang tinggal di Bogota itu.

“Saya tidak boleh berjalan dengan tenang, pasti ada saja mata yang merenung tajam atau menjerit macam-macam,” sambungnya.

Tidak kira sama ada di dalam bas, kereta api bawah tanah atau di jalanan gangguan seksual baik dalam bentuk perkataan atau fizikal menjadi asam garam wanita Amerika Latin. Namun, asam garam inilah yang cuba dihapuskan oleh wanita di sini kerana ia jelas menunjukkan lelaki tidak menghormati mereka.

Di Mexico City, Laura Reyes sentiasa memilih menaiki koc kereta api yang dikhaskan untuk wanita dan kanak-kanak. Namun pelayan restoran berusia 26 tahun itu, dia masih berasa tidak selamat meskipun duduk di koc wanita.

“Apa tidaknya, walaupun koc berkenaan dikhaskan untuk wanita, tetapi ada saja lelaki hidung belang dan miang yang menyelinap masuk tanpa rasa malu atau bersalah. Kalau duduk di koc campur, lagi teruk kerana saya akan diraba,” katanya.

Di Brazil, wartawan Caroline Apple baru-baru ini mencetuskan perdebatan hangat apabila dia menulis mengenai pengalaman peribadinya dipancut air mani ketika dalam perjalanan pulang pada waktu petang, diletakkan juga gambar kesan yang menjijikkan itu di seluarnya pada bahagian punggung.

“Hari ini saya menjadi mangsa. Seorang penumpang kereta api memancutkan air maninya pada seluar saya! Sungguh menjijikkan!”

Gangguan seksual di tempat umum itu bukan sesuatu yang menghairankan kerana ia berlaku di banyak tempat di negara Amerika Latin.

Kalau melihat wanita berjalan sendirian, akan ada saja yang menjerit ‘Awak mahu atau tidak, saya tetap akan ‘beri’ pada awak’. Kalau melihat wanita hamil pula, pasti ada yang melaungkan ‘Saya akan beri awak dua lagi’.

Apabila melihat wanita dengan tubuh berisi dan mempunyai potongan badan yang seksi, ada pula yang berkata ‘Banyaknya daging, tapi saya tiada gigi!’

Meskipun rimas dengan gelagat memualkan itu, namun wanita tiada pilihan, mereka terpaksa terus bertahan dan bersepakat untuk bersama-sama menghapuskan budaya berkenaan.

Mujurlah ada persatuan pejuang hak wanita yang tidak jemu menjalankan kempen kesedaran dan ia sedikit sebanyak mula mengubah perlakuan tidak senonoh itu.

Costa Rica, Mexico dan Peru kini meluluskan undang-undang terhadap gangguan seksual jalanan dengan hukuman penjara sehingga 12 tahun bagi pesalah bagi kes yang paling ekstrem.

Malah, Argentina dan Chile juga sedang mempertimbang­kan untuk melaksanakan undang-undang yang sama.

Di Chile, sembilan daripada 10 wanita mengalami gangguan seksual di tempat umum dan 70 peratus mengakui mereka berasa trauma dengan kejadian itu berdasarkan satu soal selidik yang dijalankan pada 2014 oleh Observatory Against Street Harassment.

Di Argentina juga mencatatkan kadar yang sama menunjukkan masalah ini tidak boleh lagi dipandang ringan.

Kini Observatory Against Street Harassment sudah memasuki Argentina, Colombia, Nicaragua, Peru, El Salvador dan Uruguay. Ia juga mengadakan kempen di rangkaian media sosial untuk menyampaikan mesej kepada Presiden Chile, Maria Francisca Valenzuela yang menyifatkan wanita muda sebagai golongan ‘paling lemah’.

Hari ini, wanita berteknologi moden kurang berdaya tahan terhadap gangguan sek­sual berbanding generasi ibu mereka, kata pakar antropologi National University of Columbia, Fabian Sanabria.

“Sorakan ejekan ini bersifat diskriminasi terhadap wanita dan dianggap satu bentuk perlakuan untuk menggoda. Sifat macho kini semakin berkurangan apatah lagi ketika menuju ke arah dunia tanpa sempadan, lebih maya dan kosmopolitan,” katanya.

Pergerakan dalam talian ini termasuk kempen ‘Bersiul Pada Ibu Anda’ di Peru, di mana pemain bola tampar yang memenangi pingat emas dalam sukan Olimpik, Natalia Malaga mengancam lelaki si hidung belang dan mahu menghantar ibu si pelaku untuk bersemuka dengan si anak supaya mereka tahu kelakuan sebenar anak masing-masing. Ugutan itu turut dileng­kapkan dengan video lucu yang menjadi viral.

Kini apabila semakin ramai wanita Amerika Latin yang kerja makan gaji iaitu lebih 70 juta dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini mereka mula mendesak untuk diberikan layanan saksama dengan lelaki termasuk di jalanan serta menegaskan bahawa ‘pujian gatal’ itu sebenarnya menjengkelkan hati.

Ahli politik Argentina, Mauricio Macri, yang ketika ini dalam pertandingan merebut jawatan presiden mencetuskan kekecohan tahun lalu apabila berkata ‘semua wanita sukakan ‘piropo’, termasuklah yang berbunyi kurang ajar.

“Wanita hari ini tahu membezakan antara komen bersifat lucah dengan yang romantik atau puitis. Mereka sedar sudah sekian lama wanita dilihat sebagai satu objek dan perkara itulah yang menafikan hak sebagai manusia,” kata Alejandra Cabrera, pensyarah pengajian gender di Universiti Chatolic di Venezuela.

Perhatian di jalanan yang tidak dikehendaki ini kini dilihat sebagai ‘sebahagian daripada rangkaian keganasan’,” kata Pablo Navarrette, koordinator hal ehwal perundangan di Institut Wanita Nasional di Mexico.

Ia tentu saja membuka mata ramai terhadap isu yang selama ini dianggap sebagai ‘satu budaya’. Sudah sampai masa untuk bertindak melindungi wanita di rantau yang terkenal dengan keganasan rumah tangga yang setiap hari membunuh sekurang-kurangnya seorang wanita di Argentina, lebih lima orang di Mexico dan 15 orang di Brazil. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:01 AM