Oleh Saiful Affendy Sapran

Putrajaya: Terry Walsh bukanlah satu-satunya calon pilihan utama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk menggalas tugas selaku pengarah teknikal badan induk itu.

Ini kerana, Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal berkata, masih ada beberapa calon yang berminat untuk menggalas tugas itu, antaranya ialah pengarah prestasi tinggi skuad kebangsaan India, Roelant Oltmans.

Justeru jelas Subahan, pihaknya masih belum membuat keputusan muktamad, sebaliknya memerlukan sedikit masa bagi memastikan calon yang dipilih nanti, benar-benar mampu meletakkan skuad negara ke satu tahap lebih tinggi termasuk layak ke Sukan Olimpik 2020.

“Mengapa perlu terburu-buru. Memang saya sudah membuat perbincangan dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) mengenai Walsh tetapi kita tidak boleh cakap sama ada dia akan datang atau tidak.

“Lagipun kami mempunyai beberapa calon lain juga termasuk Roelant Oltmans yang menyatakan minat kepada kita ketika di Belgium tempoh hari,” katanya selepas majlis berbuka puasa kelmarin.

Jelas Subahan lagi, segala pengumuman rasmi hanya akan diumumkan olehnya pada pertengahan Ogos depan.

Arena Metro sebelum ini melaporkan MHC dijangka akan melakukan rombakan besar-besaran dalam barisan kejurulatihan dengan Walsh disebut-sebut bakal menggalas tugas selaku pengarah teknikal.

Menerusi rombakan itu, beberapa jurulatih tempatan berpengalaman seperti Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, Nor Saiful Zaini Nasruddin, Stephen van Huizen serta Tai Beng Hai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:04 AM