MOHAMAD Assri pada majlis pelepasan.
MOHAMAD Assri pada majlis pelepasan.
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Seramai 15 sukarelawan Badan Amal Tarbiah Sejagat (BATAS) akan berhari raya bersama lebih 100 penduduk yang tinggal di penempatan sementara mangsa banjir di Manek Urai dan memberikan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Selain itu mereka akan mengagihkan bantuan makanan berupa kuih raya dan bahan mentah selain meraikan kedatangan Aidilfitri bersama-sama mangsa banjir yang melanda kawasan itu hujung tahun lalu.

Setiausaha Agung BATAS, Mohamad Assri Ismail berkata, program itu diadakan bagi membantu keluarga terbabit selain memberi pendedahan kepada ahli BATAS mengenai aspek kesukarelawanan dan merasai sendiri keperitan keluarga yang terpaksa berhari raya di dalam khemah.

"Sukarelawan kita akan berada di sana selama seminggu bermula esok sehingga hari raya kedua. Kita akan berhari raya bersama seperti satu keluarga dan berharap ia akan menceriakan mereka yang masih lagi bersedih dengan bencana yang berlaku.

"Kita difahamkan, masih ramai yang memilih untuk tinggal di khemah selepas rumah mereka musnah. Semoga kita dapat membuatkan mereka ceria di hari raya," katanya ketika Majlis Pelepasan Sukarelawan Misi Bantuan Banjir di sini sebentar tadi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 8:51 PM