Oleh Ustaz Haslin Baharin

Apakah hukumnya bersahur tatkala azan subuh berkumandang? Ini kerana terjaga dari tidur sebaik mendengar azan Subuh. Minta ustaz jelaskan.

SHAH, Batu Caves, Selangor

Waktu berpuasa bermula dari terbit matahari sehingga terbenam matahari. Azan pula menunjukkan sudah habis waktu sahur dan mula berpuasa.

Oleh itu mereka yang bersahur pada waktu azan, wajib dia berhenti dan memulakan imsak (tahan makanan) sehingga berbuka iaitu tenggelam matahari.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah berhenti daripada bersahur kerana mendengar azan Bilal kerana ia melaung azan ketika masih malam.

“Teruskan makan dan minum hinggalah kamu mendengar azan Ibnu Ummi Maktum kerana ia tidak melaungkan azan melainkan setelah terbit fajar (yakni tiba ­Subuh).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dapat difahami bahawa azan Saidina Bilal r.a. merupakan azan untuk memberitahu bahawa masih boleh bersahur, manakala azan Saidina Ibnu Ummi Maktum r.a. merupakan azan terbit fajar yang sepatutnya orang berpuasa sudah mula menahan daripada makan dan minum dan perkara membatalkan puasa.

Jika meneruskan makan atau ternyata mereka makan ketika azan sedang berkumandang, maka puasanya tidak sah dan tetap wajib imsak iaitu menahan diri daripada makan dan minum seperti orang yang berpuasa dan wajib mengantikannya selepas Ramadan. Wallahualam

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 12:27 AM