Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Rawang: Balqis Textiles and Manufacturing Sdn Bhd, menyasarkan jualan kira-kira RM50 juta tahun depan terutama disumbangkan oleh produk barunya, pakaian seragam sekolah.

Pengerusi Eksekutifnya, Zuraidi Rahim berkata, pihaknya akan melancarkan pakaian seragam sekolah menerusi jenama Adam dan Hawa pada September 2015.

Katanya, Balqis Textiles berpengalaman sebagai pengilang produk tempahan khas untuk semua jenis pakaian sejak 10 tahun lalu, selain bekerjasama dengan pelbagai syarikat terkemuka bagi mengilang dan membekalkan produk berkualiti tinggi menggunakan jenama masing-masing.

“Balqis Textiles juga menyasarkan untuk menguasai pasaran pakaian seragam sekolah sebanyak 30 peratus menjelang tahun depan, sekali gus meletakkan sasaran lebih kurang sejuta helai pakaian dikeluarkan bagi tahun pertama operasi.

“Walaupun terdapat pesaing lain dalam industri ini, kami yakin masing-masing mempunyai khalayak sasaran tersendiri dan kelebihan serta kekuatan Balqis Textiles adalah kerana kami mengeluarkan kain dan menjahit sendiri pakaian terbabit,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Balqis Textiles, Datuk Syed Mohammed Izhaar dan Pengarah Eksekutifnya, Datin Azlina Hamid.

Zuraidi berkata, memandangkan Balqis Textiles menghasilkan dan menjahit sendiri pakaian seragam sekolah, pihaknya dapat menjalankan dan memantau kawalan kualiti produk.

Menurutnya, keutamaan Balqis Textiles untuk menembusi pasaran pakaian seragam sekolah adalah untuk membantu memenuhi keperluan ibu bapa, selain memberi jaminan harga yang ditawarkan tidak akan membebankan pengguna.

Beliau berkata, tahun depan juga Balqis Textiles akan memberi tumpuan sepenuhnya pada pasaran domestik dan tahun seterusnya merancang untuk mengorak langkah ke pasaran Asia Tenggara terutama di Indonesia, Singapura dan Thailand.

Sementara itu, Syed Mohammed berkata, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM10 juta bagi mengeluarkan pakaian seragam sekolah termasuk daripada kilang sehingga kepada produk.

“Bagi perancangan lima tahun, kami mahu melihat Balqis Textiles menjadi pengeluar terbesar pakaian seragam sekolah lengkap bukan saja di Malaysia, malah seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:03 AM