Putrajaya: Kabinet mengambil pendirian bersama bahawa semua pihak perlu memberi peluang kepada proses untuk berjalan dengan sewajarnya berhubung dakwaan pemindahan dana 1MDB ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pada mesyuaratnya, hari ini, Kabinet membincangkan isu semasa, termasuk artikel The Wall Street Journal (WSJ).

“Perbincangan dimulakan dengan perdana menteri menyatakan beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang, dan seperti yang anda semua maklum, peguam yang mewakili perdana menteri akan menghantar surat kepada The Wall Street Journal,” katanya.

Khairy berkata demikian selepas upacara pelancaran program Felowship Perdana 2015 oleh Najib di Perdana Putra di sini hari ini.

Katanya, selagi pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan itu belum mengemukakan hasil siasatannya, adalah pramatang untuk membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Ditanya sama ada tuduhan itu adalah suatu konspirasi untuk menyingkirkan perdana menteri, beliau berkata “Saya tak melihatnya begitu. Saya tak boleh beri komen.”

Jumaat lalu, WSJ menyiarkan laporan yang mendakwa hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana daripada syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad, telah disalurkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Pada hari sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan berkata ia sabotaj politik bagi menumbangkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

1MDB juga menjelaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana ke dalam akaun peribadi Najib.

Pasukan petugas khas itu kemudian membekukan enam akaun bank yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Hari ini, pegawai pasukan petugas khas itu berkunjung ke pejabat 1MDB untuk menjalankan siasatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 9:17 PM