ORANG ramai menghadiri Hari Terbuka Inovasi UPM.
ORANG ramai menghadiri Hari Terbuka Inovasi UPM.
PROF Ir Dr Desa Ahmad menunjukkan hasil ciptaan mesin penanam bijirin secara pneumatik khusus untuk penanam kenaf.
PROF Ir Dr Desa Ahmad menunjukkan hasil ciptaan mesin penanam bijirin secara pneumatik khusus untuk penanam kenaf.
PROF Dr Rita Muhamad Awang menerangkan kegunaan kotak pemanas solar kepada Dr Manjeri Ganasegaram.
PROF Dr Rita Muhamad Awang menerangkan kegunaan kotak pemanas solar kepada Dr Manjeri Ganasegaram.
PROF Dr Dzolkifli Omar (kanan) berjaya menghasilkan racun serangga formulasi mikroemulsi.
PROF Dr Dzolkifli Omar (kanan) berjaya menghasilkan racun serangga formulasi mikroemulsi.
DR SK Balasundram menunjukkan hasil perisian teknik pengimejan digital untuk anggarkan kualiti minyak sawit .
DR SK Balasundram menunjukkan hasil perisian teknik pengimejan digital untuk anggarkan kualiti minyak sawit .
PROF Dr SK Balasundram menerangkan mengenai perisian teknik pengimejan digital.
PROF Dr SK Balasundram menerangkan mengenai perisian teknik pengimejan digital.
Oleh Mohamad Hussin

Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan 16 inovasi baru berkenaan bidang pertanian negara sempena Hari Terbuka Inovasi bertemakan Pertanian, Inovasi dan Perniagaan yang diadakan di Dewan Pertanian, Fakulti Pertanian UPM, Serdang, baru-baru ini.

Antara bidang pertanian dan veterinar yang dihasilkan termasuk Formulasi Mikroemulsi Racun Serangga, Kotak Pemanas Solar, baja B-Green Bio, Perancah Tulang Nanokomposit dana bahan tampalan nanokomposit untuk pembaikan tulang.

Sebanyak 15 kumpulan penyelidik UPM mengambil langkah proaktif dengan mencipta teknologi baru dalam industri pertanian bagi membantu mereka yang terbabit dalam industri berkenaan.

Timbalan Pengarah Bahagian Promosi dan Pemasaran Inovasi Putra Science Park Dr Mohamad Fakri Zaky Jaafar berkata, pameran itu memberi peluang kepada penggiat industri untuk bersua muka dengan penyelidik UPM dalam mencari penyelesaian terbaru menerusi teknologi baru yang dihasilkan.

Katanya, ia juga satu landasan yang disediakan UPM bagi penyelidik untuk mempromosikan hasil inovasi mereka sebelum dikomersialkan kepada penggiat industri yang berminat.

“Semua hasil inovasi yang dipamerkan ini tidak pernah dikomersialkan sebelum ini dan kita menjemput penggiat industri khususnya pertanian dan veterinar untuk mendapatkan teknologi terbaru.

“Mereka juga berpeluang mendapatkan pandangan daripada penyelidik UPM yang terbabit dalam bidang berkaitan. Ini adalah pameran mini apabila kita mengadakan kira-kira empat hingga lima kali setahun untuk mempromosikan inovasi UPM.

“Pihak berkepentingan dalam sektor pertanian seharusnya mengambil langkah berani dengan membeli produk baru keluaran universiti tempatan, “ katanya.

Hadir sama Dekan Fakulti Pertanian UPM Prof Dr Abdul Shukor Juraimi.

Beliau berkata, produk dikeluarkan universiti di luar negara adalah mahal berbanding produk keluaran universiti tempatan yang lebih murah dan mampu mengurangkan kos import.

“Usaha pengkomersialan produk inovasi UPM yang dijalankan sejak 10 tahun lalu hingga kini sudah berjaya melesenkan 73 produk untuk kegunaan pelbagai industri dengan perolehan mencecah RM40 juta.

“Antara produk yang pernah dikomersialkan UPM sebelum ini seperti vaksin untuk industri penternakan ayam, baja dan produk teknologi maklumat (ICT).

“Sebenarnya penyelidik UPM menghasilkan ratusan inovasi dan hanya terpilih saja dipamerkan kepada penggiat industri.

“Namun, kita turut melakukan promosi dan pemasaran untuk hasil penyelidikan lain untuk memberi manfaat kepada industri,” katanya.

Dr Mohamad Fakri berkata, pihaknya merancang mengadakan Hari Terbuka Inovasi ini sebanyak lima atau enam kali setahun tertakluk kepada kesesuaian masa fakulti berkaitan.

“Kami bagi peluang kepada pengusaha industri untuk bertemu penyelidik dan membincangkan perkara berbangkit. Menerusi kunjungan ke pameran ini, mungkin teknologi yang dihasilkan dapat membantu menyelesaikan masalah mereka hadapi,” katanya.

Sementara itu, Prof Madya Fakulti Pertanian UPM Prof Dr SK Balasundram berjaya mencipta satu perisian khas dikenali Image Analysis bagi mengesan kualiti minyak sawit secara lebih tepat dan cepat.

Beliau berkata, ketepatan perisian itu menjangkau hingga 80 peratus dengan keputusan dapat diketahui hanya dalam masa lima saat.

“Kebiasaannya kualiti minyak sawit diukur menggunakan formula Degree of Bleachability Index (DOBI), bagaimanapun formula itu membabitkan kos yang tinggi dari segi alatan digunakan dan mengambil masa lama untuk mendapatkan keputusan.

“Kita biasa melihat buah sawit daripada mata kasar, tetapi tidak mengetahui peratusan minyak yang terkandung di dalamnya.

“Perisian ini turut bertindak sebagai alat membantu untuk membuat keputusan, selain kewujudan perisian ini sebagai alternatif kepada pengusaha minyak sawit dalam mengesan kualiti secara lebih cepat.

“Sekarang, minyak sawit berkualiti tinggi dan rendah dicampur sekali gus hingga susah untuk membuat kawalan kualiti. Perisian ini dijangka berada di pasaran dua atau tiga tahun lagi kerana sekarang ia masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Beliau berkata, perisian itu mesra pengguna kerana hanya perlu memasukkan sekeping gambar sawit dan semua formula sudah diselenggara dalam perisian berkenaan.

“Setiap angka yang ditunjukkan ketika menjalani proses pengesanan adalah penting kerana ia ada kaitan dengan kandungan minyak dan kualiti buah sawit.

“Saya berpendapat perisian ini banyak membantu pengusaha minyak sawit dari segi mengesan kualiti minyak dan boleh membuat keputusan minyak mana yang perlu dituai atau tunggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 11:00 AM