AKSI luar biasa Ridho.
AKSI luar biasa Ridho.
AKSI membunuh ‘Hand Hop’ oleh B Boy Juicy.
AKSI membunuh ‘Hand Hop’ oleh B Boy Juicy.
Oleh Nurul Husna Mahmud

Garang dan rumit adalah ‘rencah’ dalam penceritaan tarian jalanan ‘Break Dance’ atau B Boy.

Daripada gerakan kaki hingga keupayaan memusingkan badan berpaksikan kepala, tangan mahupun bahu dalam rutin tarian, sudah menggambarkan sejauh mana keberanian penari ini bertempur merebut gelaran raja gelanggang.

Mereka yang menyaksikan persembahan 26 kumpulan termasuk 80 pesaing solo dalam R16 B Boy Championship 2015 di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini, sukar menilai peserta yang dapat mengungguli cabaran kerana persaingan setara.

Masing-masing mempunyai dinamik serta kreativiti tersendiri dalam memacu gerakan ‘membunuh’ seperti ‘Jack Hammer’, ‘Head Slide’ dan ‘Elbow Hops’ membuat sesiapa saja terpana dengan aksi mereka.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Street Nation Studio dan One Universal Production Sdn Bhd, Bobby Tan, penganjuran pertandingan itu mahu mencari penari B Boy terbaik dalam mengharumkan nama negara pada kejohanan peringkat Asia di Macau, bulan depan.

“Harapan kami selaku penganjur berjaya mencungkil bakat mahupun mencari penari mampu memahat nama negara dalam kejohanan Asia mahupun dunia.

“Kami mahu penari B Boy Malaysia mampu memberikan impak atau tentangan hebat sebagai ‘raja’ di pentas dan lihat potensi mereka semakin berkembang membuat saya optimis akan ada wakil kita menyerlah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Merujuk kepada format ‘battle’ kali ini, Tan berkata format digunakan mengikut standard penganjuran peringkat Asia mahupun dunia.

“Ada dua kategori iaitu solo dan berkumpulan. Penilaian ialah tempur dan kalah mati. Peringkat saringan diberikan dua hingga tiga pusingan manakala seterusnya jumlah pusingan meningkat kepada lima hingga tujuh untuk ‘battle’ terakhir.

“Selain mengekalkan dinamik, kreativiti serta skil akan dinilai pengadil antarabangsa khusus memilih wakil Malaysia akan berentap ke peringkat Asia serta dunia nanti,” katanya.

Pemenang kategori solo, Mohd Ridwan Mohd Yassin atau lebih dikenali dengan gelaran B Boy Juicy, 25, berkata saingan diterima kali ini sangat sengit.

“Saya memang berhabis-habisan dalam gelanggang tari menentang ‘Ghost Style’ yang nyata mempunyai gaya mahupun kekuatan tersendiri. Secara peribadi, ia bukan saingan mudah kerana saya tidak bersedia untuk kejohanan kali ini.

“Jadi tentu saja cepat ‘pancit’ dan semestinya acara kemuncak paling memenatkan sebab banyak tenaga dikerah dalam setiap pusi­ngan.

“Namun saya kuatkan semangat apabila memikirkan ingin kembali dalam arena tarian setelah berehat seketika kerana terbabit dalam seni suara. Itulah hasilnya apabila saya berjaya meraih perhatian juri mengadili kejohanan kali ini,” katanya.

Kejayaan Juicy dalam acara solo turut disusuli dengan berita gembira apabila adiknya, Mohd Faridh berjaya mengungguli kategori berpasukan.

Menurut Faridh, gandingan mantap pasukannya GBSK diang­gotai Mohd Zain Md Rani, Lim Leong Inn dan Sam Jee Lek menjadi elemen penting dalam memastikan kemenangan mereka.

“Taktikal kami ialah setiap ahli perlu menonjolkan skil dan rutin terbaik mereka agar dinamik dalam setiap persembahan konsisten. Selain itu kreativiti menerusi perbincangan pantas membuatkan kami antara kumpulan mendahului dalam pasukan ini.

“Sudut lain, kami perlu kekal setara dalam setiap kualiti rutin kami persembahkan agar ‘flow’ tarian kami dapat dirasai juri,” katanya teruja untuk mewakili Malaysia ke peringkat Asia dan seterusnya dunia.

Bagi dua peserta terpilih menerusi pilihan juri, Ridho Wahyudi dan Tan Yi Hao, mereka teruja de­ngan pengiktirafan diterima.

Kata Ridho, perasaan terharu dirasai itu wajar mengenangkan kerja keras yang mereka lakukan selama ini apatah lagi keghairahannya terhadap tarian berkenaan mendapat perhatian Juri dari Kanada, Karl Dyzee Alba.

“Saya cuba ketengahkan se­suatu kelainan apabila menggabungkan tunjuk ajar ‘senior’, yoga, sarkis serta peliuk badan dalam tarian terbabit. Saya berada dalam genre tersendiri apabila gaya fleksibel yang saya panggil ‘origami’ membuatkan ramai tertarik dengan tarian saya.

“Malah, atas sebab itu juga B Boy Dyzee memilih kerana melihat saya berbeza daripada lain. Ini menyemarakkan semangat saya memburu kemenangan di peringkat Asia pula,” katanya.

Mengulas mengenai kualiti keseluruhan, Dyzee yang juga ketua juri berkata dia mengharapkan komuniti B Boy Malaysia terus meningkatkan kualiti persembahan serta tidak mudah puas hati dengan skil sedia ada.

“Bakat ditemui memang baik tetapi masih tidak mencapai tahap yang memuaskan saya. Saya pernah melihat mereka beraksi jauh lebih baik sebelum ini.

“Berharap untuk peringkat Asia mereka boleh mempersembahkan pada prestasi terbaik selain kreatif menonjolkan ciri identiti tarian B Boy di sini mempunyai karakter unik tersendiri,” katanya.

PROFIL:

Nama: Ridho Wahyudi

Umur: 19 tahun

Asal: Jakarta, Indonesia

Nama: Muhammad Rizwan Mohd Yassin

Umur: 25 tahun

Asal: Kota Kinabalu, Sabah

Nama: Mohamad Faridh Mohd Yassin

Umur: 23 tahun

Asal: Kota Kinabalu, Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:05 AM