PESAWAT American Airlines. FOTO fail AFP
PESAWAT American Airlines. FOTO fail AFP
Agensi

New York: Sebuah pesawat Boeing 737 MAX American Airlines berjaya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark, dekat New Jersey.

Ia meskipun selepas mengumumkan kecemasan dan kaptennya menghentikan satu enjin kerana kemungkinan masalah teknikal.

Al Jazeera melaporkan pesawat itu dalam perjalanan dari Miami ke lapangan terbang berkenaan dan membawa 95 penumpang dan enam kru.

Pesawat berjaya mendarat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Ia dilaporkan mungkin mempunyai masalah berhubung dengan tekanan minyak enjin dan penunjuk paras minyak.

Namun, ia dipercayai tidak berkaitan dengan sistem MCAS seperti dalam nahas membabitkan dua pesawat jenis sama pada 2018 dan 2019.

Sebelum ini, operasi pesawat Boeing 737 MAX digantung selama 20 bulan susulan kedua-dua nahas berkenaan.

Pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Lion Air terhempas di Laut Jawa, mengorbankan 189 penumpang pada Oktober 2018, manakala pesawat sama milik Ethiopian Airlines terhempas pada 10 Mac 2019, mengorbankan 157 penumpang.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 10:37 AM