PISTOL yang dirampas polis.
PISTOL yang dirampas polis.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Tindakan seorang lelaki memiliki sepucuk pistol automatik mengundang padah apabila dia ditahan polis di Jalan Datuk Kumbar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang, lelaki terbabit berusia 57 tahun bekerja sebagai juruteknik sedang memandu kereta BMW sebelum ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, polis yang memeriksa kenderaan suspek kemudian menemui pistol itu sebelum bertindak menahannya.

Menurutnya, polis turut menemui sembilan butir peluru .9 mm di dalam kereta suspek.

“Siasatan lanjut mendapati kereta digunakan suspek didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 40 tahun bergelar doktor di sebuah hospital swasta di Alor Setar.

“Kita sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti hubungan antara suspek dengan pemilik kereta terbabit,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPK Kedah, tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 4:51 PM