Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan penangguhan kes untuk mengenepikan pengisytiharan muflis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng Datuk Ishak Ismail pada 23 Julai depan.

Terdahulu, mahkamah sama menetapkan hari ini untuk keputusan permohonan dikemukakan Ishak, 64, melalui Peguam CS Murtti untuk mengenepikan pengisytiharan muflis terhadapnya.

Ishak diisytiharkan muflis oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah itu pada 18 Mac lalu selepas gagal membayar pinjaman kepada seorang ahli perniagaan, Datuk Misran Sukadi, berjumlah RM2 juta.

Murtti berkata, keputusan penangguhan itu dibuat Hakim Datuk Kamaludin Md Said, selepas mempertimbangkan persetujuan oleh ahli perniagaan, Datuk Misran Sukadi.

Beliau berkata, permohonan penangguhan itu dibuat bagi membolehkan kedua-dua pihak menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 11:00 AM