Ishak meninggal dunia
Ishak meninggal dunia
Alias Abdul Rani dan Amran Yahya

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail meninggal dunia selepas rebah ketika menghadiri Majlis Hari Raya DUN Seri Menanti, di Tanjong Ipoh, Kuala Pilah malam ini.

Ishak, 66, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) selepas dilaporkan rebah pada 10 malam.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hassan Malek sambil memaklumkan jenazah Allahyarham masih berada di hospital terbabit.

Sementara itu, ADUN Pertang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jalaluddin Alias berkata, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO Negeri Sembilan kehilangan kehilangan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada parti.

Beliau berkata, Allahyarham adalah sahabat baik dan menghargai pengorbanannya yang sudah lama berjuang kepada negeri dan parti.

"Kami merakamkan takziah kepada ahli keluarga dan bersabar dalam menghadapi situasi sukar ini," katanya ketika dihubungi.

Ishak dipilih sebagai ADUN Lenggeng pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) apabila menang majoriti 2,058 undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Allahyarham meraih 7,170 undi diikuti calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar, 5,112 undi manakala Zulkifli Abdullah dari Bebas, 812 undi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 1:01 AM