Oleh Jauhariatul Akmal Johar


Rantau Panjang: Pemuda warga tempatan maut ditembak manakala rakannya, parah dalam kejadian berhampiran surau di Pangkalan Haram Paun, Sungai Golok, Thailand, kira-kira 4.30 pagi tadi waktu tempatan (5.30 waktu Malaysia).

Mangsa, Mohamad Ashraf Zafri, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di belakang kepala akibat tembakan jarak dekat.

Bapa mangsa, Zafri Mohd Zain, 48, berkata, dia dimaklumkan mengenai insiden itu menerusi panggilan telefon oleh seorang lagi anak yang menetap di Kota Bharu, ketika sedang bersahur.

Meskipun terkejut dengan kejadian yang berlaku, Zamri berkata, mereka sekeluarga tetap reda.

Jenazah Mohamad Ashraf dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, hari ini selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Sungai Golok, selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Kongart Suwankham berkata, rakan mangsa berusia 22 tahun turut parah terkena tembakan.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang dan dendam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 1:07 PM