ZALIFAH  menunjukkan produk kecantikan dan  kesihatan yang dikeluarkan Luminour International.
ZALIFAH menunjukkan produk kecantikan dan kesihatan yang dikeluarkan Luminour International.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Kuala Lumpur: Luminour International Sdn Bhd merangka untuk meluaskan pasaran produk kecantikan dan kesihatannya, Absolute Lifting Bee Venom Serum dan Feminine Jamu Suleet ke negara Timur Tengah berikutan permintaan tinggi terhadap produk berasaskan bahan semulajadi.

Pengasasnya, Zalifah Zakaria berkata, rancangan mengeksport produknya itu bakal dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang kerana memerlukan perancangan yang rapi.

“Dalam jangka masa tiga tahun lagi, saya merancang mengeksport produk ini ke luar negara terutama negara Timur Tengah dan perancangan masa terdekat untuk mengeluarkan produk penjagaan muka dan makanan tambahan sebagai pelengkap kepada dua produk sedia ada sekarang,” katanya ketika ditemui di Sooka Sentral.

Beliau berkata, produk baru berasaskan bahan semulajadi itu bakal dikeluarkan dalam masa terdekat dan dijangka membantu dalam menaikkan jumlah keseluruhan jualannya.

“Saya menjangkakan rangkaian produk baru bakal menyumbang dalam kenaikan jumlah jualan dan menyasarkan jualan RM800,000 sehingga penghujung tahun ini,” katanya.

Katanya, perancangan lain ialah menambah bilangan stokis dan ejen di seluruh negara bagi menyasarkan bilangan produk terjual bagi kedua-dua produk sedia ada 10,000 unit.

“Selain menambah bilangan stokis dan ejen, saya juga mahu kekal sebagai pengeluar produk daripada bahan semulajadi dan halal serta diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana terlalu banyak produk tidak diluluskan yang menimbulkan keraguan pengguna,” katanya.

Zalifah berkata, pihaknya kini lebih fokus memasarkan produknya di laman media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana medium berkenaan bukan sahaja menjadi pilihan golongan muda untuk membeli-belah, malah semua golongan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 5:33 AM