AHMAD Zailani (kanan) menunjukkan mercun yang dirampas. FOTO Rosli Ilham
AHMAD Zailani (kanan) menunjukkan mercun yang dirampas. FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham

Dungun: Seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan bersama mercun bernilai RM2,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gong Beting di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, lelaki itu ditahan dalam pemeriksaan yang dijalankan pihaknya pada 1.30 pagi.

Menurutnya, pihaknya merampas 22 kotak bunga api dan bungkusan plastik mengandungi pelbagai jenis mercun yang disimpan dalam stor di kediaman lelaki itu.

"Siasatan awal mendapati bunga api dan mercun berkenaan dibawa masuk dari negara jiran untuk diedar dan dijual di daerah ini.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 2:05 PM