AHMAD Imranullah Ahmad Husaini Ajmain.
AHMAD Imranullah Ahmad Husaini Ajmain.
Oleh Ardini Sophia Sina


Minat Imran Ajmain terhadap muzik berputik apabila sering melihat bapanya mengemas dan membersihkan koleksi piring hitam di ruang tamu. Dia kemudian diperkenalkan kepada penyanyi, pemuzik, komposer dan penulis lirik kegemaran insan kesayangannya.

Pada usia lapan tahun, dia mengikuti bengkel radio kanak-kanak di stesen radio Warna Singapura. Sepanjang tempoh tiga tahun dia mendalami ilmu asas nyanyian dan lakonan radio.

Namun pada usia 12 tahun murid Sekolah Rendah Xing Huu, Hougang ini kembali menumpukan perhatian pada pelajaran kerana akan menduduki peperiksaan penting iaitu Primary School Leaving Examnination (PSLE).

Akur dengan nasihat ibu, Imran melupakan seketika minatnya terhadap muzik dan penuhi masa dengan membaca. Ketika menuntut di Sekolah Menengah Siglap, Pasir Ris, Imran lebih suka duduk di rumah mengulang kaji pelajaran hingga jarang keluar bermain dengan rakan.

Selepas tamat O-Level pada 1997, jejaka pemalu ini memilih bekerja sebagai pembantu dapur sebuah hotel di Lapangan Terbang Changi Singapura. Dia kemudian mengikuti pengajian Diploma Komunikasi Massa di IBMEC.

Meskipun padat dengan kuliah, minatnya terhadap muzik tidak pernah pudar.

Imran terkenal dengan himpunan lagu putus cinta, hilang harapan dan kecewa. Mula dikenali menerusi lagu Seribu Tahun yang menjadi runut bunyi drama Kerana Cintaku Saerah pada 2007, Imran berjaya membuai hati pendengar dengan vokal mendayunya.

Antara lagu lain berjaya melonjakkan nama Imran di persada muzik Malaysia adalah Selamat Ulang Tahun Sayang, Ghaibmu, Jika Engkau Pergi, Radio dan Dikalung Kasihan.

Selepas empat tahun menyepi, anak bongsu daripada dua beradik itu muncul kembali dengan album berjudul Setulus Kasih. Kali ini Imran tampil berani dengan menyanyikan lagu berirama rancak dan segar.

Dilancarkan pada Mac lalu, album berkenaan memuatkan enam lagu. Jika dalam dua album terdahulu dia bertindak selaku penulis lirik dan komposer, menerusi Setulus Kasih dia membuka laluan kepada pencipta baru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:07 AM