ENJIN ‘berat’ mungkin disebabkan penggunaan minyak pelincir tidak betul.
ENJIN ‘berat’ mungkin disebabkan penggunaan minyak pelincir tidak betul.

Saya baru saja membaik pulih bahagian silinder, omboh, gegelang dan klac bagi motosikal Suzuki Belang 150 cc.

Ketika memecut pada gear satu, berlaku sesuatu yang menyebabkan enjin seakan-akan berat apabila pendikit dipulas secara mengejut. Adakah keadaan itu biasa bagi Suzuki Belang?

Selain itu, adakah setiap kali membesarkan silinder, jejarum dan jet utama pada karburator harus ditukar seperti kini apabila menggunakan omboh ber­saiz 50?

AMIR

Kuala Lumpur

Motosikal menjadi berat mungkin disebabkan penggunaan minyak pelincir yang tidak betul atau jumlah terlalu banyak. Ia juga mungkin akibat permukaan bahagian enjin terlalu rapat dan menyebabkan ia menjadi ketat.

Membaik pulih dengan membesarkan silinder dan omboh tidak memerlukan penukaran jejarum tetapi cukup sekadar menaikkan jarum utama dalam karburetor.

Ia boleh dilaras ketinggiannya untuk membenarkan lebih bahan api masuk, selaras dengan pembesaran sesaran enjin.

Bagaimanapun, penukaran jejarum oleh mekanik berpengalaman boleh mengoptimumkan kecekapan enjin. Penukaran jet utama yang lebih besar akan menyebabkan peningkatan penggunaan bahan api dan hanya dilakukan pada motosikal perlumbaan.

Dalam perlumbaan, cara kawalan pendikit adalah berbeza kerana motosikal akan berada dalam julat rpm yang tinggi. Bagi tunggangan biasa, kita akan kerap memperlahankan motosikal atau berhenti di lampu isyarat.

Ketika itu, berlaku lebihan bahan api masuk ke kebuk pembakaran yang menyebabkan enjin melakukan pembakaran kurang sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:05 AM