FATHIA dan Sharnaaz selaku teraju utama filem ini.
FATHIA dan Sharnaaz selaku teraju utama filem ini.
ANTARA babak menarik Darah Panas
ANTARA babak menarik Darah Panas
ADAM Corrie  Lee sinonim dengan watak antagonis.
ADAM Corrie Lee sinonim dengan watak antagonis.
BARISAN pelakon yang hadir ketika sesi tayangan khas baru-baru  ini.
BARISAN pelakon yang hadir ketika sesi tayangan khas baru-baru ini.
Oleh Ramlah Zainal


Bukan sekadar mengangkat gejala sosial sebaliknya filem Darah Panas yang mengetengahkan pergolakan dan konflik hidup anak muda di ibu kota juga sarat dengan mesej positif.

Selain tampil dengan genre aksi, filem arahan Arjin Uppal ini turut mengetengahkan elemen dan sedih untuk mewarnai filem ini.

Ia mempertaruhkan gandingan mantap pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad sebagai Adi, Soffi Jikan (Aloi), Adam Corrie (Cicak) dan Nur Fathia (Syahana).

Turut menguatkan filem ini ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Aznah Hamid dan Ruminah Sidek.

Arjin berkata, isu yang dipaparkan dalam filem itu masih relevan dengan masyarakat sekarang.

“Isu seks bebas, pelacuran dan dadah cukup membimbangkan dan ia adalah gejala sosial yang tiada penghujungnya.

“Saya menaruh harapan semoga filem ini boleh dijadikan pengajaran buat golongan remaja di sini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Darah Panas, kata Arjin, penggambaran filem itu sudah berlangsung tiga tahun lalu.

“Kami mengambil masa lama untuk menyiapkan filem ini kerana berdepan dengan sedikit masalah ketika itu. Namun, hasil kerjasama dan komitmen terbaik pelakon dan kru akhirnya ia berjaya disiapkan.

“Selain kekuatan jalan cerita dan sinematografi, babak aksi turut menjadi tarikan utama dalam filem ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd ini di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ditanya sama ada kontroversi babak bogel Syahana lakonan Nur Fathia sengaja direka untuk melariskan filem, Arjin menafikannya.

“Ia bukan strategi produksi dengan mencetuskan kontroversi yang memalukan artis semata-mata untuk publisiti filem itu.

“Sebaliknya babak Syahana berbogel itu memang ada dalam skrip kerana ia memaparkan gadis kampung yang naif dan terjebak dalam kancah pelacuran.

“Kami juga terpaksa memotong sedikit babak itu untuk mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem tapi ia tidak menjejaskan jalan ceritanya,” katanya yang mengarah filem Kerat 14 sebelum ini.

Bagaimanapun, kata Arjin, dia berpuas hati dengan prestasi lakonan barisan pelakon utama dalam filem itu.

“Sebagai pengarah, saya memang tidak pernah puas dengan karya dihasilkan kerana ingin buat yang lebih baik lagi.

“Namun, semua pelakon memberikan prestasi lakonan seperti dikehendaki dalam filem ini.

“Pemilihan watak utama iaitu Sharnaaz, Soffi dan Adam Corrie memang menepati kehendak karakter masing-masing iaitu pelakon yang lasak dan berkebolehan melakukan aksi lagak ngeri.

“Begitu juga Nur Fathia dia memang tepat untuk melakonkan watak Syahana dan saya sudah melihat bakatnya ketika proses uji bakat filem ini tiga tahun lalu,” katanya.

Sasar kutipan ‘box office’

Penerbit Darah Panas sanggup mengeluarkan bajet tinggi mencecah RM1.8 juta demi menjadikan filem berkenaan sebagai yang terbaik.

Penerbitnya, Harvinder Uppal berkata, mereka memilih kompleks studio filem terbesar dunia, Ramoji Film City di Hyderabad, India untuk proses suntingan teknik Imej Janaan Komputer (CGI) dan kesan bunyi untuk filem kelima terbitan White Merpati Entertainment ini.

“Ia bagi memastikan babak dalam filem ini lebih hebat dan mencemaskan penonton.

“Antara babak aksi yang mendebarkan ialah membabitkan kemusnahan kereta mewah BMW 3 Series dan motosikal berkuasa tinggi,” katanya yang juga abang kepada Arjin.

Berkongsi sasarannya pula, kata Harvinder, pastinya dia berharap filem itu mendapat kutipan ‘box office’ nanti.

“Saya percaya Arjin dan barisan pelakon serta kru sudah beri yang terbaik pada filem ini.

“Kini, kami berserah pada penonton untuk menilainya.

“Sebagai pembikin filem, pihak kami sangat berharap penggemar filem tempatan terutama generasi muda memberi sokongan pada filem ini ,” katanya.

Darah Panas mula ditayangkan di 70 pawagam tempatan dan tayangan serentak di Singapura dan Brunei bermula semalam.

Sinopsis

Darah Panas mengisahkan mengenai Syahana, gadis yang berpegang pada agama, tetapi bercita-cita menjadi model Muslimah kerana terpengaruh dengan video di laman sosial.

Syahana berkenalan dengan Fandi melalui laman sosial dan meminta bantuannya mencapai cita-citanya itu.

Syahana memberitahu hasratnya itu kepada keluarganya, namun ditentang bapa dan abangnya.

Syahana tetap mahu meneruskan cita-citanya, lalu mengambil keputusan melarikan diri ke Kuala Lumpur.

Setibanya di ibu kota, Fandi membawa Syahana ke dunia pelacuran dan gadis naif itu tidak menyangka nasibnya akan menjadi begitu.

Cicak, ketua rumah pelacuran turut terbabit dalam sindiket dadah.

Dia membeli Syahana daripada Fandi. Manakala, Adi pula bekerja di bawah Kumpulan Cicak dan dia bertemu Syahana ketika di rumah pelacuran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 11:19 AM