PEMAIN skuad bola sepak Sukan SEA bergambar sebelum berlepas ke Singapura.
PEMAIN skuad bola sepak Sukan SEA bergambar sebelum berlepas ke Singapura.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Sama ada Indonesia akan bertanding ataupun tidak di Sukan SEA Singapura, jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee lebih rela perlawanan acara bola sepak diteruskan mengikut jadual tanpa memerlukan undian semula.

Penyertaan skuad Indonesia pada temasya dwi tahunan itu terus menjadi tanda tanya selepas beberapa laporan terbaru media antarabangsa mengatakan skuad Garuda mungkin terpaksa menarik diri berikutan konflik antara Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dengan kerajaan negara itu hingga mengheret campur tangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Jika Indonesia tidak bertanding, ia bakal menyaksikan saingan tidak seimbang dengan hanya empat pasukan bertanding dalam Kumpulan A manakala Kumpulan B enam pasukan termasuk Malaysia.

Kim Swee berkata, masa terlalu suntuk untuk melakukan perubahan, kempen Kumpulan A bermula hari ini manakala pasukannya akan membuka cabaran menentang Timor Leste esok di Stadium Bishan.

“Indonesia tidak ada kena mengena dengan kita kerana mereka dalam kumpulan lain namun tanpa Indonesia saingan antara kedua-dua kumpulan nampak tidak adil.

“Tapi masa semakin suntuk, kalau undian semula dibuat, ia akan mengganggu persiapan kita kerana kita sudah menyusun rancangan mengikut jadual perlawanan. Kita juga sudah mengkaji kekuatan lawan dalam Kumpulan B dan jika berlaku perubahan pasukan pada saat akhir pasti akan menjejaskan persiapan.

“Kalau benar undian semula mahu dilakukan juga, saya mahu ia dilakukan secara adil dengan mengikut ranking pasukan namun saya tidak nampak ada sebarang perubahan akan berlaku kerana Indonesia ada menghantar wakil pada mesyuarat pengurus pagi tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi Arena Metro di Singapura semalam.

Berdasarkan undian sebelum ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Vietnam, Brunei, Laos dan Timor Leste manakala tuan rumah Singapura, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Myanmar dalam Kumpulan A.

Skuad B-23 negara yang diletakkan sasaran untuk merampas semula pingat emas dimenangi di Sukan SEA Indonesia 2011 tiba di Singapura kelmarin dan memulakan latihan pertama di padang Kolej ITE semalam.

Menurut Kim Swee, beliau mengharapkan sokongan padu penyokong negara untuk menyeberang Tambak Johor apabila anak buahnya berdepan Timor Leste pada perlawanan pertama esok.

“Tiada masalah di sini dan suasana dalam pasukan juga tenang. Saya lihat lebih banyak perkara positif dalam pasukan ketika ini. Saya berharap penyokong khususnya dari Johor dapat memberikan sokongan kepada skuad negara nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 11:37 AM