ISSAM (kiri) dan Asyraf bersama kucing kesayangan mereka. FOTO Safizan Yakin
ISSAM (kiri) dan Asyraf bersama kucing kesayangan mereka. FOTO Safizan Yakin
Oleh Gaddafi Musli


Puchong: "Sepertimana ibu bapa menjaga dan menyayangi anak-anak mereka, begitu juga hubungan kasih sayang antara saya dan kucing-kucing peliharaan saya." Itu kata Issam Idris, 39 mengenai hobinya memelihara kucing eksotik sejak 17 tahun lalu yang kini menjadi sumber rezeki.

Dia yang mempunyai puluhan ekor kucing baka eksotik seperti British Shorthair, Cornish Rex, Munchkin, Scottish Fold dan Sphinx menceritakan, hobinya bermula sejak kecil selepas merawat seekor kucing kampung yang ditemui cedera bersebelahan landasan keretapi.

"Selepas itu timbul perasaan sayang terhadap haiwan berkenaan dan saya membuat keputusan untuk menjadikan kucing sebagai hobi," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya lagi ketika memulakan hobi, dia sanggup menghabiskan wang ringgit untuk menjaga kesihatan kucing-kucingnya termasuk memberi makanan berkualiti dan membawa mereka berjumpa doktor haiwan.

"Saya percaya jika kita menjaga dan mencurahkan kasih sayang kepada haiwan peliharaan, mereka juga akan membalas dengan cara mereka yang tersendiri," ujarnya.

Issam berkata setiap kali balik daripada kerja, kucing-kucingnya akan setia menunggu malah ada yang tidur bersamanya di katil.

"Malah pernah sekali seekor kucing saya mengiau dengan kuat dan mengacah ke arah semak berdekatan rumah. Rupanya ada seekor ular yang cuba memasuki kawasan rumah namun berjaya dihalau oleh kucing berkenaan," katanya.

Dia kini mengusahakan perniagaan kedai haiwan peliharaan dikenali sebagai Albi Petzone serta menjadi penjual dan pengimport kucing eksotik dari seluruh dunia.

Ada antara kucing peliharaannya diimport dari Rusia, Ukraine dan Kanada.

Kedai yang terletak di Taman Putra Perdana, Puchong itu menjual pelbagai kelengkapan haiwan peliharaan, makanan kucing berkualiti tinggi selain kucing-kucing comel baka eksotik.

Selain itu dia dan rakannya Mohd Asyraf Josni membuka satu lagi cawangan di Puchong Permai yang dinamakan Bulus Uptown Puchong Permai yang dibuka pada waktu malam.

Menurut Mohd Asyraf, kucing eksotik atau ‘pedigree’ memerlukan lebih perhatian memandangkan keadaan fizikal yang berbeza berbanding kucing biasa.

“Sebagai contoh kucing pedigree yang berbulu lebat memerlukan penjagaan rapi supaya bulu tidak kusut dan berserabut. Selain itu pemakanan juga penting untuk memastikan kesihatan kucing berkenaan terjamin,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 1:00 PM