ANTARA mangsa yang cedera dalam kemalangan itu.
ANTARA mangsa yang cedera dalam kemalangan itu.
Oleh Abd Rahman Adam


Kuching: 15 pekerja buruh warga Indonesia cedera apabila van dinaiki terbalik akibat dirempuh sebuah kenderaan lain dalam kejadian berhampiran sebuah hotel di Pending, di sini, 12.30 tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu, semua mangsa cedera di kepala, kaki dan tangan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu serta seorang lagi penyelia warga Indonesia tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu van dikenali sebagai Bill Bujang, 32, berkata, mereka dalam perjalanan ke sebuah tapak pembinaan di Petra Jaya bersama warga Indonesia terbabit yang baru dibebaskan dari Depo Tahanan Serian, di sini.

Katanya, ketika melalui sebuah lampu isyarat, sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina dipandu laju seorang lelaki dari simpang sebelah kanan hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang van dipandunya.

"Akibatnya, van kami terbalik sebelum terbabas kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian sekali gus menyebabkan 15 pekerja buruh terbabit cedera, namun saya bersama penyelia Indonesia terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan ,"katanya ditemui di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 3:02 PM