Kuala Lumpur: Menjelang akhir 2020, Malaysia sudah bertaraf negara maju dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka berjumlah RM1.4 trilion dan dianggarkan meningkat kepada RM2.6 trilion pada 2030.

KDNK per kapita pula diunjurkan meningkat lebih sekali ganda iaitu daripada RM54,890 pada tahun 2020 kepada RM117,260 pada tahun 2030.

Laporan RMK11 berkata, ekonomi negara akan didominasi aktiviti berintensif pengetahuan dan nilai ditambah tinggi yang seterusnya mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi. Pada 2030, lebih 40 peratus daripada jumlah guna tenaga terdiri daripada pekerja mahir berbanding dengan 35 peratus pada tahun 2020.

Katanya, pasca 2020, Malaysia akan kekal sebagai sebuah ekonomi terbuka dan lebih berintegrasi dengan ekonomi serantau dan global. Pertumbuhan ekonomi global akan dipacu oleh ekonomi baru muncul di Asia, dan pusat perdagangan dijangka beralih ke timur.

“Republik Rakyat China dan India berpotensi menjadi pasaran utama barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia, sejajar kemakmuran dan pertambahan golongan menengah di negara tersebut. ASEAN dijangka menjadi tonggak ketiga Asia dan batu loncatan perniagaan Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

“Penambahbaikan sistem perhubungan dengan negara anggota ASEAN akan meningkatkan pelaburan, perdagangan, pelancongan serta pergerakan bakat merentasi sempadan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 6:28 AM