PROSES pengasingan dijalankan.
PROSES pengasingan dijalankan.
PROSES pengasingan dijalankan.
PROSES pengasingan dijalankan.
BIJI sawit dalam mesin pelerai.
BIJI sawit dalam mesin pelerai.
SABUT buah sawit yang diasingkan daripada biji.
SABUT buah sawit yang diasingkan daripada biji.
 BIJI buah sawit yang diasingkan daripada sabut menggunakan mesin pelerai.
BIJI buah sawit yang diasingkan daripada sabut menggunakan mesin pelerai.
DR Rosnah bersama penyelidik menunjukkan pingat Anugerah Inovasi dalam menghasilkan mesin pelerai.
DR Rosnah bersama penyelidik menunjukkan pingat Anugerah Inovasi dalam menghasilkan mesin pelerai.
Oleh Mohamad Hussin


Teknologi mesin pelerai sabut atau ‘Drupe Dehusker’ yang dihasilkan sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dapat membantu industri atau pekebun mengasingkan sabut dan biji terutama buah sawit sekali gus menjimatkan kos serta tenaga kerja.

Ketua Projek Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan UPM Prof Madya Dr Rosnah Shamsudin berkata, penyelidikan yang dijalankan bersama dua pensyarah Prof Dr Robiah Yunus dan Dr Azhari Samsu Baharuddin serta seorang pelajar, Christine Jamie Vincent Eddy dimulakan sejak penghujung 2013.

Beliau berkata, mesin pelerai ialah sejenis alat direka bentuk khas untuk memisahkan sabut daripada tempurung atau biji buah-buahan.

“Biji yang sudah diasingkan terkumpul di atas piring operasi dan sabut pula terkumpul di dalam ruang pengumpulan yang terletak di bahagian paling bawah mesin.

“Mesin ini berupaya mengasingkan 100 peratus sabut berkenaan daripada biji-bijinya. ‘Drupes’ adalah buah-buahan yang mempunyai sabut atau ‘mesocarp’ di bahagian luar buah dan tempurung yang bertujuan untuk melindungi biji atau kernel yang terdapat di dalamnya.

“Buah kelapa sawit menghasilkan dua jenis minyak berlainan daripada buah yang sama. Minyak kelapa sawit dari sabut dan minyak kernel dari biji yang dikelilingi sabut buah berkenaan,” katanya yang ditemui di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Menurutnya, minyak kelapa sawit adalah minyak yang kaya dengan ‘carotenoid’ yang menyumbang kepada warna merah gelap minyak sawit dan minyak kernel berwarna putih.

“Minyak kernel juga amat berbeza dari minyak sawit tetapi lebih menyerupai minyak kelapa. Kedua-dua minyak ini mempunyai aplikasi yang berlainan.

“Kebanyakan pusat pe­nyelidikan minyak sawit di negara ini mengasingkan sabut dari biji sawit untuk tujuan analisis kualiti minyak dilakukan dengan pengupasan sabut secara manual oleh pekerja mahir dan terlatih.

Ia menerusi penggunaan pisau khas supaya kehilangan minyak dan kerosakan pada sabut dan biji dapat dielakkan.

“Bagaimanapun, kaedah manual ini memakan masa untuk menyudahkan setandan buah sawit. Justeru, mesin pelerai ini berupaya untuk mengantikan kaedah manual dan menjimatkan masa, kos serta tenaga pekerja,” katanya.

Rosnah berkata, mesin ini adalah alat mengupas berbentuk dram atau silinder yang digunakan terutama untuk buah-buahan bersabut seperti buah sawit, dabai dan pinang.

“Ia beroperasi secara mekanisme memusat (centrifugal mechanism) dalam memastikan proses pengupasan sabut buah berkenaan dari bijinya adalah efisien.

“Mekanisme memusat dari putaran operasi menggalakkan geseran berlaku di antara buah dengan keseluruhan dinding silinder yang direka khas untuk tujuan pengupasan dan kemudian akan mengasingkan sabut daripada biji buah itu.

“Kelajuan putaran mesin ini boleh dilaraskan mengikut kehendak pengguna bagi memperolehi proses pengupasan optimum.

“Biji-biji yang sudah diasingkan terkumpul atas piring operasi manakala sabut pula terkumpul di dalam ruangan khas di bahagian bawah dram mesin,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi ini memudahkan kerja perahan dan seterusnya meningkatkan lagi kualiti dan jumlah minyak yang terhasil, mempercepatkan proses dan mengurangkan kos pengendalian.

“Hingga ke hari ini, tidak terdapat lagi mesin mampu mengupas mesocarp dari bijinya secara 100 peratus efisien dengan kehilangan minyak yang amat sedikit.

“Mesin ini juga sudah diaplikasikan untuk pengasingan sabut dan biji bagi buah Dabai Sarawak serta didapati mempunyai keputusan pengasingan yang sama.

“Kami percaya belum ada mesin mampu mengupas dan mengasingkan sabut daripada bijinya secara 100 peratus efisien dengan kehilangan minyak yang amat sedikit kira-kira dua peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 9:41 AM