Off Koh Lipe (Thailand): Pihak berkuasa Thailand mengesan sebuah bot yang sarat dengan pendatang Rohingya dari Myanmar menuju ke Malaysia, termasuk sejumlah besar kanak-kanak dan mereka kelihatan lemah di atas dek bot yang hanyut di selatan Pulau Koh Lipe, Laut Andaman.

Difahamkan, 10 orang sudah meninggal dunia sepanjang perjalanan beberapa hari itu dan mayat mereka dibuang ke dalam laut.

“Kami semua seramai 800 orang dan sudah berada di laut selama dua bulan. Kami mahu ke Malaysia tetapi belum juga sampai,” kata seorang pendatang di atas bot berkenaan kepada wartawan yang menghampiri mereka dengan bot hari ini.

Menurut wartawan AFP, sekumpulan wanita bertudung di atas dek, menangis apabila bot wartawan menghampiri bot berkenaan dan ramai penumpang adalah kanak-kanak termasuk masih bayi.

Perkataan ‘Kami Rohingya Myanmar’ dalam bahasa Inggeris tertera pada bendera hitam yang dilekat pada badan bot kayu itu manakala khemah kanvas didirikan di atas dek untuk penumpang berteduh.

Tiada bot pihak berkuasa Thailand kelihatan walaupun mereka meronda laut di kawasan berkenaan berikutan banyak bot dipenuhi pendatang dikesan sejak beberapa hari lalu.

Pertubuhan hak asasi manusia bimbang ratusan, mungkin ribuan pendatang Rohingya dibiar hanyut dalam bot di Laut Andaman sejak beberapa hari lalu, akibat ditinggalkan sindiket penyeludupan manusia berikutan operasi membanteras oleh pihak berkuasa Malaysia dan Thailand. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:16 PM