DAVID (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
DAVID (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Kanada dan Amerika Syarikat (AS) kekal berada di landasan tepat untuk layak ke Piala Dunia apabila melakar kemenangan hari ini manakala Mexico menghidupkan peluang mereka selepas menewaskan Jamaica.

Kanada yang sedang berusaha untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1986, melakar kemenangan 2-0 ke atas Honduras di San Pedro Sula sekali gus kekal menduduki tangga teratas CONCACAF dengan 19 mata daripada sembilan perlawanan.

Gol sendiri Denil Maldonado selepas 10 minit permainan diikuti gol Jonathan David pada minit ke-73 memastikan tiga mata penuh milik Kanada yang akan menanti kunjungan AS di Hamilton, Ontario.

AS yang terdesak untuk layak beraksi di Piala Dunia dekat Qatar pada tahun ini selepas gagal layak beraksi di Piala Dunia 2018 di Rusia, terus menghidupkan peluang mereka selepas menewaskan El Salvador 1-0 di Columbus, Ohio.

Pertahanan kelahiran England, Antonee Robinson menjaringkan gol tunggal pada perlawanan itu sekali gus menyaksikan AS kini ketinggalan satu mata di belakang Kanada.

Bagaimanapun ia kemenangan kurang meyakinkan untuk AS di bawah bimbingan Gregg Berhalter yang bergelut menewaskan El Salvador.

Sementara itu, Mexico bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut sebelum ini apabila menewaskan Jamaica 2-1 di Kingston.

Mexico ketinggalan satu mata di belakang AS dengan mengumpul 17 mata daripada sembilan perlawanan.

Tiga pasukan teratas layak secara automatik beraksi di Qatar dengan pasukan di tangga keempat akan beraksi pada perlawanan playoff.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 11:55 AM