WARTAWAN Mexico nekad bertugas walaupun menerima ancaman setiap masa.
WARTAWAN Mexico nekad bertugas walaupun menerima ancaman setiap masa.
 NILS Horner, wartawan Sweden yang ditembak mati di Afghanistan.
NILS Horner, wartawan Sweden yang ditembak mati di Afghanistan.
KAWASAN tempat Nils Horner ditembak mati pada siang hari.
KAWASAN tempat Nils Horner ditembak mati pada siang hari.
Susunan Siti Salmiah A Hamid


Bagi mengingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, UNESCO mengeluarkan satu data baru mendedahkan bilangan wartawan yang dibunuh setiap minggu di seluruh dunia.

Negara yang sedang dilanda perang di Timur ­Tengah berada di senarai teratas sebagai tempat paling berbahaya untuk wartawan.

Selepas Syria dan Iraq, sebuah kepulauan di Asia Tenggara iaitu Filipina adalah tempat paling bahaya.

Menurut satu laporan dikeluarkan Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), sejak 1992, seramai 77 wartawan terbunuh di Filipina berbanding 80 di Syria dan 166 di Iraq.

“Filipina bukanlah zon perang tetapi jumlah mayat yang dikumpulkan membuktikan negara terbabit adalah paling berbahaya kerana konflik dalaman,” kata Timbalan Pengarah Asia di Human Rights Watch (HRW), Phelim Kine.

Pembunuhan di Maguindanao

Pada 2009, lelaki bersenjata membunuh 32 wartawan di wilayah Maguindanao yang sebahagian penduduknya beragama Islam turut mengorbankan 25 orang awam.

Ia dikenali sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai Maguindanao’ dan masih dikenang sehingga ke hari ini kerana ia peristiwa paling dahsyat untuk wartawan di dunia ini.

Media tempatan melaporkan, pembunuhan itu bermotifkan politik kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan calon gabenor yang akan bertanding dalam pilihan raya dengan penyandangnya, Andal Ampatuan.

Wartawan mengiringi isteri dan kakak calon gabenor yang dalam perjalanan untuk memfailkan kertas pencalonan.

“Siasatan wartawan yang menyentuh kepentingan individu berkuasa yang disokong dengan angkatan tentera boleh membuatkan wartawan itu menderita kerana siasatan mereka,” kata Kine.

Persekitaran ganas

Wartawan tempatan, David Santos membesar dan memulakan kerjayanya di Mindanao. Dia tahu rakan dalam komuniti wartawan menjadi sasaran kerana menyampaikan kritikan keras.

“Saya masih ingat terutamanya pengulas radio tempatan yang ditembak mati di dalam stesen radio. Dia berani melakukannya, mengkritik ahli politik secara terbuka atau mendedahkan kegiatan haram kongsi gelap dalam masyarakat.

“Kami benar-benar takut akan keselamatan diri dan kebanyakan wartawan sangat berhati-hati dengan laporan mereka,” katanya yang juga seorang wartawan.

Santos turut belajar berhati-hati dalam persekitaran kerja yang bermusuhan. Selama lebih satu dekad, beliau membuat liputan mengenai pemberontakan dan gerakan pemisah yang sudah lama tertumpu di bahagian selatan negara itu.

Menurut Pusat Pemantauan Anjakan Dalaman, beberapa wilayah di rantau itu sebahagian besar penduduknya beragama Islam. Perbezaan agama dan budaya mendorong kepada perbalahan antara pemberontak dan kerajaan tentera, membunuh beribu-ribu orang yang kebanyakannya tidak bersalah. Selama beberapa dekad, konflik itu meragut hampir empat juta nyawa.

Santos bercakap mengenai peluang dia dan rakan media dijemput memasuki tempat persembunyian pasukan utama pemberontak bersenjata.

“Saya takut, tetapi pada masa yang sama ingin mengetahui siapakah mereka ini,” kata Santos.

“Keselamatan dalam kem pemberontak dikawal ketat dan adalah mustahil untuk berada di dalam kawasan pergunungan tanpa jurupandu dipercayai. Menyeberang salah kawasan, anda mung­kin dianggap menceroboh wilayah puak bertentangan.

“Kami pernah dikelilingi anak muda dengan senjata berat. Ada masanya, mereka menembak secara melulu tanpa tujuan seolah-olah menikmati hiburan. Mereka akan ketawa sepuasnya.

“Semua wartawan semestinya panik,” kata Santos.

Budaya bebas daripada hukuman

Laporan CPJ menyatakan, hampir 90% daripada kes pembunuhan dan budaya bebas daripada hukuman masih kekal menjadi ancaman terbesar kepada kebebasan akhbar di Filipina.

Di negara yang mempunyai sistem undang-undang tidak cekap dan mengelirukan, kes mahkamah semakin menggunung dan proses keadilan sangat lembap.

Sejak Presiden Benigno Aquino memerintah pada 2010, seramai 26 wartawan dibunuh dan suspek yang ditangkap hanyalah enam orang, menurut laporan daripada Human Rights Watch.

Jabatan Kehakiman tidak dapat dihubungi bagi memberikan komen, tetapi dalam satu temu bual dengan CPJ, mereka berkata, budaya bebas daripada hukuman adalah isu pentadbiran Aquino yang perlu ditangani.

“Saya tidak boleh menafikan hakikat masih terdapat persepsi atau kepercayaan mengenai budaya dibebaskan daripada hukuman sewenang-wenangnya. Tetapi ia adalah sesuatu yang pentadbiran ini cuba hapuskan iaitu budaya bebas daripada hukuman sewenang-wenangnya,” kata setiausaha Jabatan Keadilan, Leila de Lima.

Usaha untuk menamatkan budaya berleluasa ini termasuk menubuhkan badan undang-undang ‘superbody’ bagi mempercepatkan siasatan dan dakwaan terhadap laporan pembunuhan di luar undang-undang secara meluas yang tidak terhad kepada wartawan.

Pada satu masa apabila kerajaan menunjukkan kemajuan untuk membendung kes pembunuhan itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan Filipina meng­anggap dalang terbesar masih kekal.

Dalam satu kes, seorang suspek mengaku menembak penyiar radio, Gerardo Ortega di belakang kepalanya pada 2011. Namun, ada khabar angin mendakwa ahli politik tempatan sebagai dalang pembunuhan itu.

“Sejak kejadian tragis itu, dalang kekal bersembunyi dan pihak berkuasa keadilan berterusan meneliti kes dengan perlahan,” kata setiausaha agung ke­satuan itu, Rupert Francis Mangilit dalam satu kenyataan.

Selain serangan ke atas kebebasan akhbar dan bahaya yang dihadapi wartawan Filipina, Santos percaya kejadian seperti itu hanya menguatkan tekad mereka untuk berdiri menentang ketidakadilan yang berlaku.

Kine turut memuji wartawan Filipina yang berani menghadapi risiko.

“Ia sesuatu yang tidak dapat dielak apabila beberapa cerita dan isu tidak akan dilaporkan disebabkan rasa takut dan ancaman terhadap wartawan,” kata Kine. - CNN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 1:01 PM