Oleh Hadzlihady Hassan


Georgetown: Kerana sebatang rokok, seorang broker tanah dipukul tiga lelaki hingga dia terpaksa menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak hampir seminggu lalu.

Bagaimanapun, lelaki berusia 41 tahun itu meninggal dunia jam 10.15 malam tadi kerana mengalami pendarahan dalam kepala dan tulang lehernya retak.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat ini tiga suspek sudah ditahan dan dua daripadanya didapati bekerja sebagai pemandu teksi.

"Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek meminta rokok daripada mangsa ketika berada di lokasi kejadian di Lebuh Chulia, di sini, Jumaat lalu.

"Bagaimanapun, mangsa enggan memberikan rokok membuatkan suspek berang dan memukulnya menggunakan topi keledar sebelum dua lagi suspek yang datang selepas itu turut memukul mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, setakat ini semua suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 2:59 PM