Kuala Lumpur: IEA Academy Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Asia e University (AeU) bagi menawarkan Diploma Profesional Kewangan Peribadi dan Keusahawanan (DPKPK) yang turut ditawarkan kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusannya Abuayubul Ansari berkata, DPKPK adalah program latihan keusahawanan berasaskan kemahiran dan daya saing bagi memahami pelbagai jenis kemahiran kritikal yang diperlukan untuk berjaya.

Katanya, program itu juga direka khas secara khusus oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada usahawan dan ahli akademik yang berpengalaman dalam bidang perniagaan.

“DPKPK sangat fleksibel kerana program ini adalah selama 10 bulan dan kelas fizikal akan diadakan tiga kali dalam sebulan manakala dua minggu sekali kelas akan diadakan secara sidang video menerusi ‘Skype’.

“Objektif utama program ini juga untuk membekalkan pelajar dengan kursus formal yang berstruktur pensijilan pada peringkat kelayakan profesional dan ia terbahagi kepada dua pengkhususan iaitu kewangan membabitkan perbankan, pelaburan dan pelbagai lagi serta modul perniagaan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, DPKPK terbuka kepada semua bakal usahawan, graduan yang masih belum bekerja, belia yang bercita-cita menjadi usahawan berjaya, pemilik perniagaan baru dan usahawan yang mahu menambah ilmu.

Abuayubul berkata, pihaknya juga mengehadkan pengambilan pelajar kepada 40 orang bagi setiap sesi dan tahun ini pembelajaran sesi pertama akan bermula April ini dan pengambilan seterusnya pula pada Jun dan September 2015.

Beliau berkata, lebih menarik menerusi DPKPK ini, pelajar akan diajar sepenuhnya secara praktikal untuk memperoleh sebanyak RM100,000 sepanjang 10 bulan pembelajaran.

“Paling penting, kami bukan saja mahu pelajar berjaya memperoleh diploma, tetapi juga hasil daripada pembelajaran secara langsung ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 7:59 AM