PEMBEDAHAN membuang fibroid. - FOTO Arkib NSTP
PEMBEDAHAN membuang fibroid. - FOTO Arkib NSTP
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Lebih 10 tahun berkhidmat sebagai perunding obstetrik dan ginekologi, pelbagai penyakit berkaitan wanita dirawatnya sama ada yang membahayakan kesihatan atau sebaliknya.

Salah satu penyakit yang sering dirawat kerana kelazimannya dialami wanita ialah fibroid iaitu sejenis ketumbuhan terbentuk daripada otot rahim (uterus).

Fibroid atau nama lainnya ialah 'Leiomyoma' atau 'Myoma.'

Ia terbentuk ketika tempoh reproduktif wanita, dari usia kira-kira 20 hingga 50 tahun apabila paras estrogen (hormon reproduktif wanita) sedang memuncak.

Profesor Madya Dr Akmal Zulayla Mohd Zahid daripada MSU Medical Centre berkata, meskipun penyakit ini tidak merbahaya tetapi boleh menjejaskan emosi wanita kerana kebimbangan mereka terhadap penyakit berkenaan.

Menurutnya, ini kerana ada segelintir wanita menyangka penyakit itu boleh mendatangkan kemudaratan seperti barah terutama membabitkan fibroid bersaiz besar.

"Ada yang menitiskan air mata apabila dimaklumkan didiagnosis mempunyai masalah fibroid.

"Sebagai seorang wanita yang memahami perasaan pesakit akan menasihati mereka supaya tidak bersedih dan maklumkan penyakit ini boleh dirawat," katanya

Beliau berkata, fibroid ada beberapa jenis iaitu tumbuh membonjol dalam dinding rahim dan membonjol luar dinding rahim.

"Ukuran dan saiznya pula berbeza, saya mempunyai pengalaman merawat pesakit mempunyai fibroid bersaiz besar seperti wanita hamil sembilan bulan.

"Bagaimanapun ia adalah kes terpencil dan jarang terjadi," katanya.

Dr Akmal Zulayla berkata, penyakit ini tidak semestinya bergejala dan kerana itu ada kalanya membuatkan pesakit tidak menyedari akan kehadirannya.

"Dalam keadaan ini ia adalah jenis fibroid subserosal yang terletak berhampiran lapisan luar atau serosa rahim dan tidak menyebabkan sebarang masalah.

"Tetapi jenis fibrod submucosal boleh mengundang masalah yang mana keadaannya membonjol ke dalam dinding rahim.

"Ini boleh menyebabkan pendarahan haid berlebihan, senguggut dan turun darah hingga mengalami anaemia dan perlu masukkan darah," katanya.

Selain itu beliau berkata, pesakit menyedari dirinya mempunyai fibroid apabila merasakan ketulan pada rahim atau kerap kencing.

SAIZ fibroid yang besar boleh menjejaskan tumbesaran bayi dalam kandungan. - FOTO Arkib NSTP
SAIZ fibroid yang besar boleh menjejaskan tumbesaran bayi dalam kandungan. - FOTO Arkib NSTP

JENIS fibroid. - FOTO Arkib NSTP
JENIS fibroid. - FOTO Arkib NSTP

"Ini kerana fibroid menekan pundi kencing, lalu menyebabkan tidak boleh menyimpan banyak air kencing dan kerap kencing.

"Dalam kes tertentu, seseorang wanita mula menyedari ada fibroid apabila mengetahui mempunyai masalah kesuburan dan sukar hamil ketika pemeriksaan kesihatan," katanya.

Namun begitu katanya, fibroid boleh terjadi kepada wanita hamil kerana respon terhadap hormon estrogen yang meningkat dalam tempoh itu.

"Ketika hamil, hormon estrogen meningkat yang ada kalanya boleh membuatkan saiz fibroid membesar berganda hingga menjejaskan tumbesaran bayi dalam kandungan.

"Perkara membimbangkan ialah fibroid boleh menyebabkan keguguran pada trimester kedua," katanya.

Mengenai rawatan pula Dr Akmal Zulayla berkata, rawatan tidak diperlukan bagi fibroid yang tidak menimbulkan sebarang masalah termasuk bersaiz kecil.

"Kebiasaannya fibroid akan mengecil dan hilang dengan sendirinya selepas menopaus.

"Bagaimanapun rawatan menerusi pembedahan perlu dilakukan untuk membuang fibroid bersaiz besar dan mencetuskan masalah seperti pendarahan haid yang banyak, sukar membuang air kecil atau kerap kencing serta mengalami masalah kesuburan," katanya.

Katanya, bagi pesakit berusia 48 tahun ke atas yang sudah mempunyai anak, disarankan membuang fibroid serta rahim dan rawatan dijalankan ialah pembedahan terbuka.

"Kaedah pembedahan dilakukan secara 'open' tetapi proses pemulihan mengambil masa agak panjang terutamanya pesakit yang mempunyai penyakit kencing manis.

"Namun kini alternatif pembedahan fibroid ialah menggunakan kaedah laparoskopik ginekologi iaitu pembedahan invasif minimum yang membolehkan pakar bedah masuk ke bahagian dalam perut (perut) dan pelvis tanpa memerlukan hirisan besar pada kulit.

"Tiub kecil dilengkapi sumber cahaya dan kamera menghantar imej bahagian dalam perut atau pelvis ke monitor televisyen," katanya.

Jelasnya, kelebihan pembedahan laparoskopik ialah proses penyembuhan singkat, kurang sakit dan risiko darah beku rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 7:01 AM