Oleh Ramlah Zainal


Darah seni sudah sebati dalam dirinya, lantas tiada apa yang dapat menghalang minat dan kesukaannya itu. Justeru, tidak hairanlah pelakon bukan Melayu popular era 1980-an, Nancie Foo masih mengikuti perkembangan dunia hiburan tanah air walaupun sudah dua dekad tidak berlakon.

Malah, Nancie yang kini mencecah usia awal 50-an mengakui dia juga merancang untuk buat ‘comeback’ bagi mengubati rindunya dalan bidang lakonan.

“Semuanya bermula selepas saya balik daripada Misi Bantuan Banjir di pantai timur bersama Yayasan Artis 1Malaysia, awal tahun ini. Saya tidak sangka masih ada peminat apabila ramai orang di sana mahu bergambar dengan saya dan bertanya bila saya akan berlakon semula?

“Selepas kembali ke Kuala Lumpur, terus saya beritahu kepada produser Skop Production, Datuk Yusuf Haslam (Yusof) untuk buat ‘comeback’ dan terus dia menawarkan saya watak pegawai polis dalam drama bersiri 13 episod, Gerak Khas, musim baru.

“Selepas berbincang dengan suami dan anak-anak, saya terima tawaran itu kerana ia sekadar pelakon undangan dalam drama itu, “ katanya.

Watak ASP Suzy dalam Gerak Khas

Jika nak diikutkan sudah banyak Yusof menawarkannya berlakon dalam drama dan filem terbitan produksinya. Namun, kata Nancy baru sekarang dia bersedia untuk kembali berlakon, sekali gus mewarnai bidang seni tanah air.

“Saya tidak ada masalah untuk membawa watak pegawai polis, ASP Suzy kerana ia dikembangkan daripada watak Inspektor Suzy yang pernah dilakonkan dalam Gerak Khas dulu,” katanya.

Bercerita pengalaman di lokasi, kata Nancy, dia mengakui gementar pada hari pertama berada di lokasi penggambaran drama Gerak Khas, baru-baru ini.

“Maklumlah, sudah lama saya tidak berlakon drama. Mujur dialog tidak susah dan saya hanya terbabit dalam enam hingga tujuh episod saja. Saya juga berusaha menjiwai watak ASP Suzy sebaik mungkin dan berharap kemunculan semula saya itu dapat mengubat kerinduan peminat di luar sana.

“Saya juga merancang untuk berlakon filem, tetapi buat masa ini hanya sebagai pelakon undangan saja,” katanya.

Mengimbas latarnya, Nancie sudah beraksi dalam puluhan drama termasuk filem sejak 1981.

Antaranya drama Remang-Remang Kota Raya. Dia turut berlakon dalam beberapa filem antaranya Bintang Pujaan dan Main-Main Hantu.

Selepas berumah tangga, bekas Ratu Cantik Malaysia 1979 itu lebih selesa bergerak di belakang tabir menerusi syarikat produksinya, Seni Dua Puluh Dua Puluh Production Sdn Bhd.

Syarikat yang ditubuhkan bersama rakan kongsinya, Wendy Wong itu turut menerbitkan beberapa projek dokumentari sempena sambutan Tahun Baru Cina untuk stesen RTM.

Terbaru, produksinya menerbitkan projek dokumentari berkaitan seni ghazal iaitu Warisan Pak Lomak untuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Selain itu, Nancie turut membabitkan diri membantu golongan anak seni menerusi Yayasan Artis 1 Malaysia dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Sementara itu, hasil perkongsian hidup dengan Wong Kang Yeow, Nancie dikurniakan tiga anak, Ai Dee, 20, Ai Vee, 17, dan Ai Lee, 12.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 12:28 PM