DUSTIN Johnson ketika melakukan pukulan lubang ke-17 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan Kejuaraan Golf Dunia Match Play. - Foto AFP
DUSTIN Johnson ketika melakukan pukulan lubang ke-17 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan Kejuaraan Golf Dunia Match Play. - Foto AFP

PEMAIN nombor satu dunia Dustin Johnson dan Rory McIlroy yang berada pada prestasi terbaik, dikejutkan pada aksi pembukaan Kejuaraan Golf Dunia (WGC) Match Play Dell Technologies.

Juara bertahan Johnson tewas 1 & 3 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan di tangan Bernd Wiesberger dari Austria, pemain nombor 56 dunia yang diletakkan sebagai pilihan ke-52 pada kejohanan di Kelab Country Austin di Texas.

Sementara McIlroy, yang kembali menunjukkan prestasi sebenarnya dengan kemenangan pada Jemputan Arnold Palmer Ahad lalu, dikejutkan oleh Peter Uihlein dalam pertembungan Kumpulan Enam.

Uihlein, pilihan ke-57, menguasai permainan sepanjang sembilan lubang pertama, mencatat tiga birdie awal untuk mendahului 4-up menjelang sembilan lubang seterusnya.

Birdie di lubang 10 melebarkan kedudukannya kepada 5-up dan walaupun McIlroy bangkit dengan lima birdie berturut-turut pada lewat permainan, ia sekadar merapatkan jurang kepada 2-up menuju ke lubang 17 dan pemain 28 tahun itu bertahan untuk menang 2 & 1.

“Ia amat sukar kerana dia bangkit pada lewat permainan. Saya rasa jika saya terus mencuba saya mampu menamatkannya,” kata Uihlein.

“Sukar untuk mengawal apa yang dia lakukan. Ia seperti perlawanan tinju, jika anda melepaskan beberapa tumbukan anda tahu dia akan membalasnya. Tapi saya mampu mengekangnya dan ia cukup melegakan.”

Format round-robin kejohanan WGC Match Play sejak 2015 memberikan peluang buat Johnson dan McIlroy untuk bangkit dalam kempen mereka dengan dua lagi perlawanan peringkat kumpulan hari ini dan esok sebelum pusingan kalah mati bermula Sabtu ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 7:37 AM