Keadaan Mohd Ramdhani. FOTO ihsan Sardi Mahrom
Keadaan Mohd Ramdhani. FOTO ihsan Sardi Mahrom
Oleh Nor Shafinaz Sari

Melaka: Mulianya hati seorang lelaki yang sanggup mengambil anak angkat walaupun mempunyai tujuh anak dengan pendapatan tidak seberapa kerana hanya bekerja kampung, namun kini fikirannya buntu, penyakit misteri anak angkatnya belum dapat diubati.

Hashim Latiff, 51, berkata, anak angkatnya, Mohd Ramadhani Abdullah, 8, menghidap penyakit perut menggeleber yang mengeras setiap kali demam selain tiada selera makan sehingga berat badannya kini hanya 14 kilogram.

Katanya, Walaupun Mohd Ramdhani sudah diperiksa doktor pakar di Hospital Alor Gajah tahun lalu, penyakitnya belum dapat dikenal pasti.

“Saya tidak sampai hati melihat keadaannya terutama ketika dia demam dan tidak selera makan “Jika demam perutnya mengeras dan dia akan akan mengerang kesakitan.

"Disebabkan masalah yang dihadapinya itu, dia tidak boleh aktif seperti kanak-kanak lain seusianya," katanya yang ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Sazali Muhd Din, di kediamannya di Krubong, dekat sini, semalam.

Menurut Hashim, dia mengambil Mohd Ramadhani sebagai anak angkat sejak Disember tahun lalu kerana ibu kanak-kanak itu, Julina Ismail, 38, menghadapi masalah mental dan tidak dapat menjaganya dengan baik sehingga tidak terurus, malah tidak dihantar ke sekolah.

“Sejak saya ambilnya sebagai anak angkat, saya hantarnya ke sekolah dan kini bersekolah di tahun dua Sekolah Kebangsaan Krubong.

“Saya tidak mampu menghantar Mohd Ramadhani ke hospital swasta kerana keadaan kewangan yang terbatas sebaliknya mengharapkan jika ada doktor pakar tampil membantu memberi rawatan.

“Saya bekerja kampung dan mempunyai tujuh anak kandung, jadi saya hanya boleh mengharapkan bantuan daripada pihak yang berkenaan untuk membantu,” katanya.

Isterinya, Norazam Ariffih, 49, pula menyifatkan Mohd Ramadhani pintar dan terang hati kerana biarpun hanya bersekolah sejak Januari lalu, dia mampu menghafal pelbagai jenis doa.

 Sementara itu, Sazali berkata, pihaknya akan memberi perhatian kepada kanak-kanak terbabit Katanya, diharap ada mana-mana hospital pakar khususnya di negeri ini tampil membantu daripada segi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberikan rawatan secara percuma kepada Mohd Ramadhani.

“Saya memohon jasa baik hospital pakar untuk mengenal pasti penyakit kanak-kanak ini dan memberikan rawatan khusus sehingga sembuh.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka juga perlu mempercepatkan kelulusan bantuan bagi membantu mengurangkan bebanan keluarga ini," katanya.

Sebelum ini, ibu Mohd Ramdhani, adalah penerima JKM tetapi terputus bantuan selepas berpindah ke Johor selain menerima bantuan rumah di bawah projek perumahan rakyat termiskin susulan rumah didudukinya sebelum ini terbakar, tahun lalu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Hashim ditalian 016-9129286

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 8:27 PM