MOHD Ramadhani Abdullah bersama Hashim.
MOHD Ramadhani Abdullah bersama Hashim.
Oleh Nor Shafinaz Sari

Melaka: “Mat tak sabar puasa tahun ni. Mat nak rasai sendiri bagaimana mana umat Islam yang lain sambut puasa dan hari raya Aidilfitri,” kata Mohd Ramadhani Abdullah, 8, kanak-kanak menghadapi masalah perut mengeleber sejak dilahirkan teruja berpuasa esok.

Murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Krubong itu meluahkan rasa teruja berpuasa kerana tidak pernah menjalani ibadat itu berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya sejak lahir membataskan kemahuannya.

Mohd Ramadhani berkata, tahap kesihatannya kini bertambah baik sekali gus memberikan dirinya peluang merasai pengalaman berpuasa buat kali pertama pada Ramadan ini.

“Mat harap dapat berpuasa penuh pada hari pertama Ramadan nanti kerana mahu merasa nikmatnya berbuka puasa selepas seharian menahan lapar dan dahaga seperti orang lain.

“Ayah tidak paksa Mat berpuasa kerana tahu mempunyai masalah kesihatan tetapi Mat tetap mahu mencuba,” katanya yang kini dijaga bapa angkatnya Hashim Latiff, 51, di kediaman mereka di Kampung Krubong, di sini.

Sebelum ini, keadaan kanak-kanak malang itu tidak terurus berikutan dia dijaga ibu kandungnya, Julina Ismail, 38, yang dikatakan mempunyai masalah kesihatan.

Hashim mengambil Mohd Ramadhani, sebagai anak angkatnya sejak Disember lalu dan dia melayan kanak-kanak itu seperti anak kandungnya sendiri, malah menguruskan persekolahan kanak-kanak itu.

“Saya berasa bangga walaupun mempunyai masalah kesihatan, Mohd Ramadhani menunjukkan kesungguhan berpuasa walaupun saya tidak memaksa dia menunaikan ibadat itu.

“Dia langsung tidak pernah tahu apa itu Pasar Ramadan, jadi saya mahu menggembirakannya pada Ramadan kali ini dengan membawanya membeli lauk berbuka nanti agar dia merasai sendiri kemeriahan suasana di situ nanti,”katanya.

Sebagai bapa angkat, dia berhasrat membelikan baju raya untuk Mohd Ramadhani, sebagai hadiah kepada kanak-kanak itu ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti rakan sebaya.

Terdahulu, Mohd Ramadhani dan Hashim menerima sumbangan barangan dapur yang berjumlah RM1,000 daripada Syarikat Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Malim, yang berkunjung ke kediaman mereka, semalam.

Pengurus Cawangannya Khairuldin Ruslan berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan kepada Mohd Ramadhani selepas membaca kisahnya di akhbar ini baru-baru ini.

“Sumbangan disampaikan juga tepat pada masanya kerana umat Islam ketika ini sibuk melakukan persiapan menyambut Ramadan dijangka esok.

“Kami mengambil kira barangan disumbangkan agar menepati keperluan semasa kanak-kanak itu dan keluarga angkat menjaga Mohd Ramadhani,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 12:08 PM