SEBAHAGIAN 180 individu yang ditahan STING Bukit Aman dalam Ops Sarang di Langkawi. FOTO Hamzah Osman
SEBAHAGIAN 180 individu yang ditahan STING Bukit Aman dalam Ops Sarang di Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman menahan seramai 180 individu atas pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Sarang di dua lokasi berasingan, di sini, yang berakhir tengah hari ini.

Serbuan bermula jam 5.30 pagi kelmarin di Kampung Tanjung Lembung dan Taman Nilam itu membabitkan 150 anggota STING serta dibantu anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Komander II STING Senior Asisten Komisioner Polis Roslan Abd Wahid berkata, daripada jumlah itu seramai tiga pengedar dadah warga tempatan turut direman selama tujuh hari mulai semalam.

Katanya, dalam operasi bersepadu itu, polis turut merampas dadah jenis heroin dianggarkan seberat 150 gram heroin, 6.68 gram syabu dan 12 kilogram daun ketum.

"Seramai 180 individu yang ditahan berusia antara 13 hingga 55 tahun dan dua daripadanya adalah wanita. Daripada jumlah itu, seramai 125 didapati positif dadah selepas ujian saeingan awal air kencing," katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 5:11 PM