Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Awas Lin Dan dan Chen Long! Jurulatih baru Datuk Lee Chong Wei, Hendrawan bersedia mempersiapkan ikon badminton negara itu untuk berdepan kedua-dua jaguh China berkenaan.

 Selain itu, Hendrawan juga berjanji mempersiapkan Chong Wei menjelang dua pertandingan penting - Kejohanan Dunia 2015 dan Sukan Olimpik 2016 Rio.

Menurut bekas pemain perseorangan Indonesia itu, cabaran itu diberikan kepadanya oleh Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen.

“Saya sudah buat perancangan dan program tapi perlu tunggu keputusan doping Chong Wei. Selepas itu saya akan berbincang dengannya mengenai program dan kejohanan,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, memang ada pertukaran dan perubahan program latihan, tetapi bukannya secara keseluruhan kerana Chong Wei sudah berada dalam kelas tersendiri.

“Ada program tambahan buat Chong Wei terutama bagaimana untuk berdepan Lin Dan dan Chen Long. Kita akan menilai perwatakan kedua-dua pemain itu, jadi fokus saya terarah kepada mereka.

“Selepas ini saya mahu dia terus bersemangat serta bekerja keras dalam latihan, itulah sebabnya saya akan memberi pelepasan (cuti) seminggu dua kali kepadanya,” kata Hendrawan.

Sebelum ini, Chong Wei hanya berehat pada Ahad, manakala hari lain berlatih seperti biasa dan selepas ini mungkin dia diberi cuti lagi pada Rabu atau Khamis.

“Corak latihan mungkin sedikit keras selepas ini, itulah sebabnya kita akan memberi peluang dia (Chong Wei) berehat pada pertengahan minggu.

“Sebagai jurulatih sudah tentu saya mempunyai impian, dalam masa terdekat saya mahu bantu dia untuk dua kejohanan itu (Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik),” katanya.

Bagaimanapun, Hendrawan tidak akan melupakan pemain lain terutama yang berada dalam pengawasannya seperti Liew Daren, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Cheam June Wei.

“Pemain lain juga harus dipersiapkan kerana mereka perlu bersedia selepas Chong Wei bersara nanti. Saya juga terkejut apabila Frost mengarahkan June Wei masuk dalam program saya.

“Selepas difikirkan semula ia sangat baik buat pemain pelapis berlatih dengan senior, termasuk untuk latihan fizikal. Sebelum ini mereka diasingkan dan tidak pernah berlatih bersama,” katanya yang menganggap June Wei pemain lengkap cuma masih kurang dari segi fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 8:14 AM