SUHAL Khan, 8, memegang poster yang bertulis `JUMPA LAGI LIMA17' sambil menyaksikan persembahan udara skuad Al-Fursan dari UAE pada hari terakhir LIMA`15. FOTO Ghazali Kori
SUHAL Khan, 8, memegang poster yang bertulis `JUMPA LAGI LIMA17' sambil menyaksikan persembahan udara skuad Al-Fursan dari UAE pada hari terakhir LIMA`15. FOTO Ghazali Kori
Oleh Nurul Huda Kosnon

Langkawi: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2015 (LIMA 15) yang berakhir, hari ini, dianggap memecah rekod baru sepanjang tempoh penganjurannya sejak 17 Mei lalu.

Selain pertambahan jumlah pengunjung serta peningkatan dalam nilai kontrak dan perjanjian persefahaman ditandatangani yang menjadi kayu pengukur, status LIMA 15 sebagai medan penganjuran pelbagai persidangan antarabangsa kali ini turut meletakkan pameran dwitahunan itu pada kedudukan yang cukup tinggi.

Apa yang pasti, tiga elemen menjadi teras utama kejayaan LIMA 15 yang pastinya perlu diberi perhatian, terutama dengan statusnya yang dianggap sebagai medan mewakili pasaran ASEAN terutama dalam kedua-dua industri terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif HW LIMA Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Wahab Nawi, berkata pembabitan 512 syarikat mewakili 36 negara dalam penganjuran kali ini dianggap sebagai angka yang cukup memuaskan, sekali gus membuktikan peranan LIMA sebagai medan pameran antarabangsa yang semakin kukuh.

Selain kedudukan LIMA sebagai pusat pasaran, statusnya mewakili pasaran dalam industri maritim dan aeroangkasa berjaya menarik pembabitan industri aeroangkasa dan maritim khususnya dari luar negara untuk terus menyertai LIMA.

"Saya kira pembabitan pempamer antarabangsa yang mewakili pelbagai negara boleh menjadi gambaran kejayaan LIMA, selain kehadiran 140 delegasi senior melalui penganjuran kali ini.

"Selain itu, kejayaan pameran ini menghubungkan delegasi dan pasaran cukup memberangsangkan dan jika ketiga-tiga faktor ini terus melonjak, saya yakin jumlah penyertaan serta skala penganjuran berikutnya pasti lebih besar," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam kenyataan dibacakan Timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata penganjuran LIMA kali ini banyak memecah rekod terutama dengan jumlah kehadiran pengunjung.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tiga hari pameran niaga sahaja 39,684 pengunjung direkodkan, manakala 50,826 pengunjung awam direkod mengunjungi Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) kelmarin, selain 35,855 di untuk segmen maritim di Awana Porto Malai.

"Mengambil kira rekod itu, kita yakin jumlah pengunjung awam sepanjang tempoh dua hari LIMA '15 akan mencecah 130,000 orang dan dengan RM9.29 bilion nilai kontrak dan perjanjian usahasama dimeterai berbanding hanya RM4.27 bilion dalam edisi sebelum ini, LIMA disifatkan sebagai cukup berjaya," katanya.

LIMA '15 adalah edisi terbesar penganjuran pameran dwitahunan itu membabitkan penyertaan 110 pesawat, lima pasukan aerobatik, 65 kapal perang dan bot serta 512 pempamer dari 36 buah negara.

Sementara itu, beliau berkata selain menjadi medan untuk perniagaan dan industri, LIMA 15 turut menjadi pentas kepada tujuh persidangan dan aktiviti berfrofil tinggi, yang bukan sahaja meningkatkan jumlah kehadiran perwakilan antarabangsa tetapi juga impak penganjuran pameran itu sendiri.

"Antaranya termasuk Persidangan Meja Bulat Panglima-Panglima Tentera Laut, Persidangan Aviasi ASEAN, Persidangan Panglima-Panglima Tentera Udara dan Forum Bisnes ASEAN," katanya yang turut yakin penganjuran LIMA edisi berikutanya bakal melonjak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 7:09 PM