MASALAH angin boleh dirawat bukan saja melalui ubatan malah menggunakan teknik urutan yang betul.
MASALAH angin boleh dirawat bukan saja melalui ubatan malah menggunakan teknik urutan yang betul.
ANGIN memenuhi badan menyebabkan penghidapnya lesu.
ANGIN memenuhi badan menyebabkan penghidapnya lesu.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Perut senak, kerap sendawa dan angin memenuhi badan membuatkan seseorang itu tidak selesa serta lesu, malah mungkin tekanan dari segi fizikal mahupun mental akibat masalah angin yang terlalu banyak.

Masalah angin bagi kebanyakan individu mungkin tidak menjadi satu masalah kesihatan yang luar biasa manakala gejala yang dialami antara individu itu mungkin sama, tetapi punca sebenar masalah pula berbeza.

Keadaan angin ini kebanyakannya berpunca daripada udara yang ditelan dan apabila seseorang dalam keadaan tertekan, mereka lebih kerap menelan udara tanpa disedari.

Masalah ini disebabkan proses penghancuran makanan oleh bakteria di dalam usus besar yang tidak dapat dihadamkan sepenuhnya. Gas yang dihasilkan ialah biasen, nitrogen dan adakalanya gas methana.

Terdapat beberapa ka­edah rawatan bagi menyelesaikan masalah ini. Apa yang paling utama adalah penghidapnya perlu menukar jenis pemakanan seharian terutama mengelakkan pengambilan jenis makanan berangin, pengambilan ubat-ubatan dan mengelak daripada menelan udara terlalu banyak.

Kaedah perlu dilakukan penghidap masalah angin:

- Menukar jenis makanan

Kandungan gas yang dihasilkan daripada makanan berbeza antara individu. Pesakit perlu memastikan jenis makanan khusus yang menyebabkan berlakunya masalah angin ini berdasarkan pengalaman. Sekiranya makanan itu dapat dikenal pasti, hindarkan daripada mengambil makanan itu.

- Ubat-ubatan

Ubat-ubatan seperti antasid, simethicone dan activated charcoal yang boleh didapati di farmasi dapat membantu mengurangkan masalah angin. Selain itu, enzim penghadaman seperti laktase membantu menghadamkan karbohidrat di samping membolehkan seseorang mengambil makanan yang biasanya menghasilkan angin.

- Kurangkan menelan udara

Individu yang mengalami masalah sendawa yang kronik dinasihatkan supaya kurang mengambil gula-gula getah dan gula-gula. Anda dinasihatkan supaya mengunyah makanan secara perlahan-lahan dan tidak banyak bercakap ketika makan. Sekiranya pesakit memakai gigi palsu, dinasihatkan supaya berjumpa doktor gigi untuk memastikan ia sesuai dipakai.

Hindari makanan yang menghasilkan angin

Makanan yang mengandungi gula raffinose, fruktos, laktos dan sorbitol menghasilkan banyak angin. Raffinose terkandung dalam makanan seperti kacang yang mengandungi banyak gula kompleks manakala bunga kubis, kubis brussel, asparagus, brokoli dan kubis pula mengandungi fruktos.

Laktos ialah gula semula jadi yang terdapat pada susu dan makanan mengandungi susu seperti keju dan aiskrim. Fruktos banyak terdapat pada bawang, buah pear dan gandum. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis dalam minuman ringan dan jus buah-buahan.

Sorbitol diperoleh secara semula jadi daripada buah-buahan termasuk epal, pear, pic dan prun. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis dalam makanan untuk diet, gula-gula dan gula getah. Kanji kebanyakannya didapati pada kentang, jagung dan gandum yang mana makanan ini dihancurkan di dalam usus besar. Beras adalah satu-satunya makanan berkanji yang tidak menghasilkan angin.

Ubatan dan urutan

Selain pengambilan ubatan yang sesuai bagi me­ngurangkan masalah angin sama ada dengan bertemu doktor, teknik urutan juga satu daripada kaedah yang dapat membantu rawatan masalah angin.

Melalui teknik urutan yang betul, angin dalam badan seseorang itu mampu dikeluarkan dan ia pastinya memberikan kelegaan kepada penghidapnya.

Menurut pakar terapi Nor Qamarul Ramdhah Ahmad Rashidi, teknik urutan yang betul mampu melegakan atau mengurangkan rasa kurang selesa individu yang mempunyai masalah angin.

“Terdapat pelbagai jenis masalah angin yang biasa terjadi antaranya angin di badan, kepala, rahim, perut, dan bawah bahu yang boleh menyebabkan penghidapnya berasa lesu dan mengalami kesakitan.

“Masalah angin ini sekiranya tidak dirawat atau diurut dengan betul bukan saja menyebabkan rasa tidak selesa malah boleh menjadi punca rasa kesakitan atau bisa pada badan atau tempat yang bermasalah itu,”ujarnya.

Nor Qamarul Ramdhah yang mempunyai pengalaman mengurut masalah angin lebih 10 tahun itu berkata, pengambilan makanan yang betul antara perkara yang perlu diberi perhatian penghidap masalah angin.

“Apa yang penting adalah kurangkan makanan pedas dan berlemak kerana itu akan menambah angin selain perlu pastikan minum air putih secukupnya.

“Selain itu, pengambilan buah sebelum mula makan nasi selain minum air masak sebaik bangun daripada tidur juga antara kaedah yang dapat membantu mengurangkan masalah angin,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 10:33 AM